AM > BERITA

Kayuhan Santai Penang Sempoi: 200 Peserta Kembalikan Nostalgia Basikal Klasik

22/11/2025 03:55 PM

KEPALA BATAS, 22 Nov (Bernama) -- Suasana sekitar Penaga hari ini, meriah dengan kehadiran 200 individu yang berpakaian seperti dari tahun 50-an hingga 80-an sambil menunggang basikal klasik pada program Kayuhan Santai Penang Sempoi.

Acara unik itu bukan sahaja mempamerkan keistimewaan basikal klasik tetapi juga membawa peserta menikmati panorama kampung tradisional Melayu di Penaga termasuk Kampung Agong yang merupakan destinasi ekopelancongan terkenal dengan keunikan landskap kampung tradisional Melayu.

Program kayuhan 10 kilometer yang bermula di Masjid Ar Rahman Permatang Rambai lebih menarik apabila terdapat peserta mengenakan seragam bomba, tentera, kelasi, polis dan posmen, iaitu gaya yang sinonim dengan era keemasan basikal klasik.

Penganjur program Ahmad Fauzi Ismail, 64, berkata mereka menerima 200 penyertaan dari seluruh Semenanjung untuk mengikuti kayuhan itu yang antara lain bertujuan meraikan warisan budaya dan semangat perpaduan.

Beliau berkata sebanyak 200 basikal termasuk model ikonik seperti Raleigh, Phoenix dan Hercules yang pernah menjadi kegilaan rakyat dari 1950-an hingga 1970-an dibawa peserta yang turut melengkapkan gaya klasik menerusi pemilihan busana mereka. 

“Saya tidak sangka akan menerima penyertaan sebanyak ini, termasuk ada dua peserta dari Klang, Selangor memilih untuk berkayuh ke sini selain ada juga yang datang dari Johor.

“Paling menarik program melibatkan masyarakat berbilang kaum dan pelbagai peringkat usia termasuk kanak-kanak serta warga emas,” katanya kepada Bernama selepas majlis pelepasan Kayuhan Santai Penang Sempoi di sini hari ini.

Acara bersempena Program Jelajah Koperasi MADANI daerah Seberang Perai Utara itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang Fahmi Zainol.

Peminat basikal klasik Sharif Mohamad Yusuf, 47, yang mempunyai 18 basikal pelbagai jenama selepas memulakan koleksi 10 tahun lepas, berkata mula membuat persiapan menyertai program kayuhan itu sejak dua bulan lepas.  

Peniaga itu berkata mengikut perancangan asal, dia merancang untuk mengayuh basikal klasik jenis Raleigh Military Opel yang dikeluarkan sekitar tahun 40-an dari Nilai, Negeri Sembilan ke Penaga namun terpaksa membatalkan hasrat itu kerana cuaca tidak menentu.

“Saya mahu menyertai program seperti ini kerana selain bertemu kawan, dapat juga melihat koleksi basikal klasik lain dan berkongsi maklumat dengan mereka mempunyai minat sama,” katanya yang memakai seragam tentera udara zaman 80-an. 

Sementara itu, G. Bagabathiappan, 62, dari Banting, Selangor yang menunggang basikal jenis Raleigh  meletakkan tong menyimpan susu di belakang dan berpakaian seperti penjual susu, mengingatkan kepada watak Annamalai dalam filem popular lakonan legenda Tamil Rajinikanth.

Pesara kerajaan yang mempunyai lima basikal klasik berkata menjadikan rutin untuk menyertai program kayuhan basikal klasik di seluruh negara kerana mahu bertukar maklumat mengenai kenderaan tersebut.

“Saya mula berminat dengan basikal klasik sejak lima tahun lepas dan apabila program melibatkan tema era lama, saya memilih untuk membawa watak berkaitan masyarakat India," katanya.

Bagi Muhamad Azmi Ponikin, 46, program seperti itu perlu lebih kerap dianjurkan untuk menarik penyertaan golongan muda yang secara tidak langsung meningkatkan perpaduan dalam kalangan rakyat.

“Saya mempunyai 10 basikal klasik dan paling disayangi ialah basikal posmen Jepun kerana memang dibeli dari negara itu,” katanya yang hadir dari Pantai Morib, Selangor.

Selain acara kayuhan, Program Jelajah Koperasi MADANI daerah Seberang Perai Utara turut melibatkan pertandingan sukan rakyat seperti boling, kupas dan kukur nyiok (kelapa), anyaman sarung ketupat daun nyiok, mewarna untuk kanak-kanak, gubahan kain batik serta masakan tradisional.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan