AM > BERITA

Kerajaan Mahu Tubuh IKM Di Sandakan, Perkasa TVET Dan Kurangkan Pengangguran Di Sabah

22/11/2025 07:28 PM

SANDAKAN, 22 Nov (Bernama) -- Kerajaan berhasrat menubuhkan sebuah Institut Kemahiran MARA (IKM) di Sandakan, bagi memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta menangani kadar pengangguran dalam kalangan belia Sabah.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penubuhan institusi itu penting bagi memenuhi permintaan setempat dan menyediakan peluang latihan kemahiran supaya anak muda Sabah dapat bekerja di negeri sendiri.

“Ini bagi memenuhi keperluan di kawasan Sandakan. Walaupun di Sabah terdapat 24 GiatMARA, kawasan ini masih memerlukan sebuah kolej tinggi TVET bagi menyediakan latihan kemahiran kepada pelajar,” katanya selepas merasmikan program Sentuhan Kasih Desa@Sungai Sibuga di sini, hari ini.

Program itu turut dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Hadir sama calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga Datuk Suhaimi Nasir, calon BN DUN Sekong Mohd Zharif Aizat Samsudin, calon BN DUN Sungai Manila Zaini Tiksun,  dan calon BN DUN Karamunting, Datuk Chin Kim Hiung.

Terdahulu, dalam ucapannya, Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata penubuhan IKM di Sandakan akan membantu anak muda tempatan mendapatkan pekerjaan dengan gaji lebih baik selepas menamatkan pengajian.

“Kita tidak mahu anak-anak Sabah bekerja di Semenanjung. Kita mahu mereka mendapat latihan dan bekerja di Sabah bagi membantu keluarga. Kita juga mahu isu pengangguran di Sabah, yang menyumbang satu daripada lima pengangguran di Malaysia, dapat diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta MARA akan mengemukakan peruntukan diperlukan untuk mempercepat pelaksanaan projek pembinaan IKM sekiranya diberikan mandat pada PRN ke-17.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 25 Nov bagi undi awal manakala 29 Nov sebagai hari pengundian.

Mengikut statistik SPR, sebanyak 1,784,843 pengundi terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera bersama pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan layak menjalankan tanggungjawab mereka pada PRN kali ini.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan