KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Kerja baik pulih suis utama yang meletup di sebuah pangsapuri SS8, Kelana Jaya pada Rabu lepas, sedang giat dijalankan dan bekalan elektrik dijangka pulih dalam tempoh dua atau tiga hari lagi.
Pengurus Badan Pengurusan Bersama pangsapuri berkenaan, Norisham Tumiran mengesahkan perkara itu dan memaklumkan ketiadaan elektrik kini memasuki hari keempat, pihak pengurusan telah menyediakan sebuah dewan bagi menempatkan warga emas, ibu berpantang dan penduduk terjejas bagi keselesaan mereka.
“Kerja-kerja pembaikan sedang dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik dan kami dimaklumkan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan menghantar set penjana kuasa mudah alih untuk membantu penduduk mendapatkan bekalan elektrik,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Norisham berkata bangunan 15 tingkat yang menempatkan 260 unit kediaman itu, yang telah berusia lebih 40 tahun, menjalani pemeriksaan berkala setiap bulan oleh jurutera luar yang dilantik pihak pengurusan.
Baru-baru ini tular video menerusi media sosial yang memaparkan sebuah blok pangsapuri bergelap selepas suis utama meletup, sekali gus menjejaskan urusan harian lebih 1,000 penduduk.
Sementara itu, penduduk pangsapuri berkenaan, Yunus Abdul Hamid, 61, menceritakan bahawa beliau terdengar bunyi letupan sebelum melihat asap hitam memenuhi koridor kira-kira pukul 11 malam, 19 Nov lepas.
“Ketika itu, saya melihat lampu rumah berkelip-kelip sebelum terus gelap. Saya segera memaklumkan keluarga supaya keluar dan sehingga kini bekalan elektrik masih belum dipulihkan,” katanya, yang telah menetap lebih 20 tahun di pangsapuri terbabit.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar pula berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian kebakaran di pangsapuri terbabit pada 11.07 malam, Rabu dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial