KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Industri kreatif negara kini memasuki era pengiktirafan pembelajaran formal selepas sekian lama bergantung kepada pembelajaran tidak formal di lokasi penggambaran, kata Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Hans Isaac.
Hans berkata sektor itu kini berkembang sebagai industri bernilai berbilion ringgit dengan lebih 30,000 peluang pekerjaan berjaya diwujudkan, menjadikan peningkatan kemahiran dan pensijilan profesional satu keperluan bagi memastikan daya saing penggiat seni terus diperkukuh.
“Dulu ramai tenaga kerja seni belajar terus di lokasi tanpa apa-apa pengiktirafan formal, tetapi hari ini industri kreatif kita sudah memasuki fasa pengiktirafan formal dan memerlukan tenaga kerja yang lebih terlatih dan profesional,” katanya pada ucapan perasmian Konvokesyen Meatech Creative Academy, di sini hari ini.
Konvokesyen itu menghimpunkan 120 graduan Meatech Creative Academy, termasuk kumpulan pertama terdiri daripada 50 penggiat seni yang menerima pensijilan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) melalui kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) dengan kerjasama FINAS.
Beliau berkata pengiktirafan formal melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seperti DKM membuka laluan kerjaya yang lebih jelas kepada penggiat seni, termasuk golongan veteran yang sebelum ini tidak memiliki sijil walaupun berpengalaman luas dalam bidang masing-masing.
Hans berkata pensijilan peringkat diploma itu merangkumi bidang antaranya Koordinasi Pengarahan Filem, Seni Lakon Teater dan Kejurulatihan Lakon serta Video dan Filem Penggambaran, iaitu kompetensi teknikal yang selari dengan peranan dan pengalaman kebanyakan penggiat seni dalam industri.
Antara penerima dalam kalangan penggiat seni ialah Datuk Afdlin Shauki Aksan (Afdlin Shauki), Esma Danial Md Isa (Esma Danial), Rozaidi Abdul Jamil (Zed Zaidi), Mohd Riezman Mohd Khuzaimi (Riezman Khuzaimi), Datuk Mohd Fairus Zainal Abidin (Fizz Fairuz) dan Azizan Nin (Zizan Nin).
Pada konvokesyen itu, Afdlin Shauki turut menerima Anugerah Pencapaian Industri sebagai pengiktirafan terhadap kreativiti, komitmen dan ketelitian beliau sepanjang proses penilaian PPT.
Sementara itu, Zed Zaidi ketika berkongsi pengalamannya berkata proses mendapatkan pensijilan DKM melalui kaedah PPT menjadi pengalaman baharu yang mencabar kerana memerlukan penyediaan penulisan tesis lengkap serta pembentangan kepada panel penilai, sesuatu yang jarang dilalui artis yang selama ini memperoleh kemahiran melalui pengalaman di lokasi penggambaran.
“Cabaran utama bagi kami ialah menyesuaikan diri dengan format akademik seperti penulisan tesis dan penyediaan bukti kerja, tetapi ia tetap penting untuk mengiktiraf pengalaman yang telah dibina selama bertahun-tahun dalam industri,” katanya yang memperoleh Diploma Seni Lakon Teater dan Kejurulatihan Lakon.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial