AM > BERITA

TNB Sediakan "Genset", Pulihkan Sementara Bekalan Elektrik Pangsapuri SS8

23/11/2025 01:03 PM

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Bekalan elektrik yang terjejas susulan kejadian kebakaran di Bilik Main Switch Board (MSB) di bawah badan pengurusan bersama (JMB) pangsapuri SS8, Kelana Jaya pada Rabu lepas, berjaya dipulihkan sementara pada tengah malam tadi.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bekalan elektrik sementara melalui set jana kuasa bergerak (genset) itu disalurkan kepada penduduk di pangsapuri berkenaan pada 12.10 tengah malam selepas pihak JMB menyiapkan kerja-kerja pembaikan pada komponen yang diperlukan untuk penyambungan genset.

"Bekalan sementara ini disediakan demi keselamatan dan keselesaan penduduk sementara menunggu kerja pembaikan penuh di MSB milik JMB disiapkan oleh kontraktor bangunan," menurut kenyataan TNB di laman Facebook rasmi.

Kenyataan itu memaklumkan TNB akan terus memantau keadaan semasa dan bersedia memberikan bantuan teknikal kepada kontraktor bangunan sekiranya diperlukan.

Baru-baru ini, tular video menerusi media sosial yang memaparkan sebuah blok pangsapuri bergelap selepas berlaku kebakaran di bilik MSB di bawah pengurusan JMB, sekali gus menjejaskan urusan harian lebih 1,000 penduduk.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan