Oleh Nurulhaliza Zailani
KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Pendigitalan beretika dan tadbir urus baik perlu kekal sebagai teras transformasi kesihatan negara bagi memastikan kemajuan teknologi tidak menjejaskan keselamatan pesakit dan autonomi perubatan, kata Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Datuk Dr Thirunavukarasu Rajoo.
Beliau berkata keputusan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) melarang pengeluaran sijil cuti sakit (MC) selepas sesi konsultasi maya mesti dilihat sebagai langkah penguatkuasaan yang perlu bagi mengingatkan semua Pengamal Perubatan Berdaftar (RMP) bahawa tanggungjawab penjagaan mereka adalah bersifat peribadi, tidak boleh dipindah milik dan tidak boleh dikompromi oleh tekanan komersial daripada majikan, syarikat insurans atau platform kesihatan digital.
Thirunavukarasu berkata perkembangan pesat perkhidmatan telekesihatan bercorak korporat telah mewujudkan ‘trend membimbangkan’ apabila keputusan klinikal semakin dipengaruhi pentadbir bukan perubatan yang lebih mengutamakan pengawalan kos berbanding kebajikan pesakit.
“Tanggungjawab profesional kekal terletak sepenuhnya pada doktor, tanpa mengira siapa yang menggaji atau melantik mereka. Hubungan doktor-pesakit serta tanggungjawab penjagaan yang berkait dengannya kekal sebagai sesuatu yang suci dan boleh dikuatkuasakan dari segi undang-undang.
“RMP mesti melaksanakan pertimbangan klinikal secara bebas pada setiap masa dan memastikan dokumentasi keputusan dilakukan dengan betul, terutama dalam situasi melibatkan telekonsultasi, model rawatan yang didorong syarikat insurans atau dasar perubatan yang diketuai syarikat,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama.
Baru-baru ini, MMC memutuskan bahawa pengeluaran MC semata-mata selepas konsultasi secara maya adalah tidak dibenarkan, dan kegagalan mematuhi arahan itu boleh menyebabkan RMP dikenakan tindakan tatatertib oleh MMC.
Thirunavukarasu mengingatkan pengamal perubatan bahawa di bawah Seksyen 29 Akta Perubatan 1971, MMC mempunyai kuasa penuh untuk mengambil tindakan tatatertib atas ‘kelakuan buruk dari segi profesional’, termasuk mengeluarkan nama daripada daftar perubatan, penggantungan, denda atau teguran rasmi.
Beliau berkata kelakuan buruk merujuk salah laku profesional serius seperti kecuaian melampau, amalan tidak beretika, membenarkan campur tangan bukan klinikal dalam keputusan perubatan, memalsukan dokumen atau gagal bertindak demi kepentingan terbaik pesakit.
Sementara itu, Pensyarah Perubatan dari Jabatan Etika dan Undang-Undang Perubatan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Muhamad Zaid Muuti berkata polisi yang melarang pemberian MC secara telekonsultasi adalah wajar kerana bagi tujuan pengeluarannya, pemeriksaan fizikal adalah syarat wajib menurut garis panduan MMC.
Beliau berkata bagi pesakit yang tidak mampu hadir secara fizikal ke klinik atau hospital, alternatif yang ada ialah mendapatkan pemeriksaan melalui lawatan doktor ke rumah.
“Polisi ini tidak menghalang pesakit yang tinggal jauh daripada mendapatkan rawatan kerana mereka masih boleh mendapatkan telekonsultasi untuk nasihat, rawatan awal, susulan dan preskripsi ubat tertentu.
“MC hanya boleh dikeluarkan selepas pemeriksaan fizikal yang mencukupi dan terpakai kepada semua bentuk konsultasi, termasuk telekonsultasi dan konsultasi bersemuka bagi memastikan MC dikeluarkan berdasarkan penilaian klinikal yang sah, lengkap dan dapat dipertanggungjawabkan,” katanya.
Dr Muhamad Zaid berkata kebanyakan klinik dan hospital kini mempunyai kemudahan asas seperti teknologi ICT (teknologi maklumat dan komunikasi), panggilan video dan rekod perubatan elektronik yang membolehkan telekonsultasi dijalankan dengan lancar.
“Polisi ini hanya mengehadkan pengeluaran MC dan bukan penggunaan telekonsultasi secara keseluruhan.
“Telekonsultasi masih relevan untuk memberikan nasihat perubatan, rawatan awal, rawatan susulan serta pemantauan penyakit kronik dan ia kekal sebagai komponen penting dalam perkhidmatan kesihatan moden,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial