KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Program Agromarketing Masterclass TikTok Shop Edition (AMTTSE) 2025 anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan TikTok Shop mencatat nilai jualan RM12 juta, peningkatan hampir dua kali ganda.
Ketua Pengarah FAMA Abdul Rashid Bahri berkata program lima bulan yang bermula Julai itu, disertai 182 usahawan daripada 91 syarikat, mencatat peningkatan 94 peratus berbanding RM6.2 juta pada tahun 2024.
“Sebanyak 15 syarikat kategori segar dan sejuk beku berjaya merekodkan nilai jualan RM47,000, manakala lapan syarikat orang kurang upaya (OKU) mencapai jualan berjumlah RM286,000 dengan lebih 1.3 juta tontonan siaran langsung secara keseluruhan.
“Ada syarikat yang jualan mereka meningkat lebih daripada tiga kali ganda bila terlibat dalam live streaming, dengan bantuan TikTok Shop. Jadi bagi pihak FAMA, ini satu anjakan yang sangat tinggi yang telah dicapai,” katanya pada Majlis Penyampaian Anugerah Grand Final AMTTSE 2025 di sini, hari ini.
Abdul Rashid berkata kejayaan program itu, membuktikan kemampuan usahawan agro Malaysia untuk bersaing dalam ekonomi digital global, selaras Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0) dan hala tuju Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dalam membagunkan usahawan digital berimpak tinggi.
Beliau berkata 10 syarikat usahawan FAMA terbaik akan menyertai Lawatan Pembelajaran Global di Shanghai, China pada Disember ini, bagi mempelajari teknologi live commerce, trend penciptaan kandungan serta model inovasi digital antarabangsa.
Pengarah Perhubungan Strategik TikTok Shop Nur Azre Abdul Aziz berkata pihaknya melancarkan sistem penghantaran single day delivery, bagi membuka lebih banyak peluang kepada usahawan agro untuk berniaga di platform berkenaan.
“Sekarang kita dalam pilot phase, dengan order sekarang petang boleh dapat. Untuk setakat ini, kita telah keluarkan untuk kawasan Lembah Klang dengan radius 30 kilometer, dan pada masa hadapan akan ada banyak lagi negeri di Semenanjung terutamanya, yang akan kita lancarkan,” katanya.
Pada majlis penyampaian anugerah itu, bekas jurutera yang juga usahawan OKU Amir Mohsin Mohd Bahrudin menerusi jenama “Dapur Pak Amir”, memenangi 3 anugerah utama iaitu Usahawan Terbaik Keseluruhan, Usahawan OKU Terbaik dan Usahawan Kategori Makanan Terbaik (Intermediate).
“Saya terlibat dalam kemalangan pada 2018 dan selepas bangun daripada koma selama enam bulan, saya mula memikirkan tentang kelangsungan hidup dan berpindah ke Puncak Alam bagi memulakan perniagaan nasi lemak.
“Saya tidak sangka ia mengubah nasib hidup saya yang kemudiannya memulakan perniagaan sambal secara dalam talian menerusi TikTok Shop,” katanya yang kini mampu menjana pendapatan lima angka sebulan.
Antara produk Dapur Pak Amir termasuklah sambal nasi lemak, sambal tempoyak, sambal bilis petai dan sambal talang masin, yang dihasilkan di kilang miliknya sendiri di Pasir Tumboh, Kelantan.
Dalam pada itu, Pengurus Pemasaran Hasdey Puncak Enterprise Siti Aisyah Sulaiman berkata program AMTTSE, membantunya mendalami ilmu perniagaan digital, sekali gus merancakkan perniagaan sayur fucuk keluarganya.
“Kami tunjuk menerusi pengstriman langsung, bagaimana penghasilan sekeping (fucuk) itu memakan masa 15 ke 20 minit dan proses itu bermula daripada kami masak air soya sampai air soya itu kering. Jadi sebelum ini kalau orang was-was nak makan, kami tunjuk kepada semua orang macam mana proses pembuatan dari A hingga Z,” menurut Siti Aisyah.
Beliau berkata hasil jualan produknya meningkat daripada RM700 sebulan pada Mei kepada RM45,000 pada bulan Ogos, dan perkembangan cemerlang itu telah menjadikan syarikatnya sebagai antara 10 syarikat yang terpilih menyertai Lawatan Pembelajaran Global di Shanghai, China Disember ini.
Sementara itu, Anugerah Usahawan Anspirasi dimenangi Jasmani Abdul Hamid melalui Syarikat Anis Café Enterprise yang membangunkan 83 produk makanan ready to eat, di bawah jenama Jasmani yang menjana hampir 80 peratus jualan menerusi TikTok Shop.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial