KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Usaha berterusan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memperkasakan perlindungan kanak-kanak menerima pengiktirafan, apabila Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak disenaraikan dalam Malaysia Book of Records sebagai The Largest Child Protection Advocacy Programme.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata pengiktirafan itu, diberikan selepas program berkenaan berjaya melepasi sasaran asal pelaksanaannya di 300 sekolah kepada 337 sekolah, sekali gus memberi manfaat kepada 128,148 kanak-kanak pada 2024.
“Program ini juga turut menggalakkan penglibatan masyarakat untuk menjadi mata dan telinga komuniti, khususnya melalui pelaporan kes penderaan menggunakan Talian Kasih 15999. Justeru, dengan pengikitirafan ini menjadi bukti kukuh terhadap komitmen dan dedikasi semua pihak dalam memperkasa agenda advokasi kanak-kanak.
“Usaha ini juga mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh perlindungan serta menjamin masa depan yang lebih selamat untuk setiap kanak-kanak di Malaysia,” katanya berucap di Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan 2025, di sini hari ini.
Turut hadir menyempurnakan program tersebut, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak yang juga isteri Perdana Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Noraini berkata inisiatif program itu mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan JKM untuk memperkukuh peranan sekolah serta ibu bapa dalam memastikan kanak-kanak dilindungi daripada penderaan, pengabaian dan eksploitasi selaras dengan Akta Kanak-Kanak 2001.
Beliau berkata keberkesanan program itu turut dipertingkat melalui kerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak, sekali gus menjadikannya satu usaha benar-benar bersepadu.
Pada sidang media, Noraini berkata program advokasi itu telah mencatat prestasi memberangsangkan pada 2025 dengan peningkatan penyertaan sekolah kepada 517 buah, selain diperluas kepada 44 buah Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK).
“Pada asalnya (sasaran) 30 PAKK, kemudian meningkat ke 44 (dan) secara langsung, program advokasi ini telah memberi manfaat kepada hampir 62,000 kanak-kanak di seluruh Malaysia (untuk tahun ini sahaja, tak termasuk dengan 2024).
“Kita komited melalui JKM untuk memperkukuh terutamanya peranan komuniti dalam memberi kepastian kepada anak-anak untuk memastikan anak-anak ini mendapat pelindungan yang sewajarnya, dijauhkan daripada penderaan, pengabaian dan eksploitasi,” katanya.
Sambutan Hari Kanak-Kanak tahun ini bertemakan “Hari Ini, Suaraku”, dengan penyertaan 1,000 kanak-kanak dari seluruh negara, yang turut menyaksikan penganugerahan tujuh kategori penghargaan kepada kanak-kanak serta badan bukan kerajaan (NGO).
Anugerah berkenaan merangkumi Anugerah Pingat Hang Tuah, Anugerah Khas Kanak-Kanak, Anugerah Gemilang Akademik, Anugerah Gemilang Kebudayaan dan Kesenian, Anugerah Gemilang OKU, Anugerah Gemilang Sukan dan Anugerah Khas NGO Kanak-Kanak.
Sementara itu, Dr Wan Azizah dalam ucapan perasmiannya berkata semua pihak perlu memainkan peranan dalam memastikan keselamatan, kesejahteraan dan masa depan kanak-kanak terjamin melalui pelaksanaan dasar yang melindungi hak dan memperkukuh suara mereka.
“Kita semua perlu bersetuju bahawa kanak-kanak merupakan aset negara yang paling berharga dan generasi pewaris kepimpinan masa hadapan. Tema ‘Hari ini, Suaraku’ melambangkan tekad kita untuk memastikan setiap kanak-kanak berpeluang menyuarakan pandangan, kepentingannya diambil kira dalam setiap keputusanndan hak mereka dihormati.
“Kita perlu pastikan kanak-kanak dapat membesar dengan baik dan mampu memenuhi potensi diri mereka,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial