AM > BERITA

Banjir Hat Yai: Tujuh Graduan UniMAP Terkandas Dibenarkan Hadir Konvokesyen

24/11/2025 03:22 PM

KANGAR, 24 Nov (Bernama) -- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) membenarkan tujuh graduan universiti itu yang tidak dapat menghadiri istiadat konvokesyen semalam kerana terkandas di Hat Yai, Thailand akibat banjir, untuk berbuat demikian pada sidang akhir esok.

Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Zaliman Sauli berkata graduan daripada Fakulti Perniagaan dan Komunikasi itu akan menghadiri istiadat konvokesyen ke-20 pada sidang lapan, petang esok.

"Mereka sepatutnya dijadualkan menghadiri konvokesyen pada sidang tiga semalam … namun, pihak UniMAP sentiasa berusaha untuk memastikan mereka juga merasai pengiktirafan akademik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata terdapat 25 pelajar UniMAP termasuk tujuh graduan itu yang terkandas, bagaimanapun kesemua mereka telah selamat pulang ke Malaysia.

Mengenai banjir di Perlis, Zaliman berkata pelajar mahupun petugas UniMAP serta keluarga mereka yang terjejas banjir boleh menghubungi Taskforce Bencana Universiti, manakala mereka yang mengalami kesulitan akibat terkandas susulan bencana itu diminta menghubungi Bilik Gerakan JKES UniMAP melalui talian 04-9414417.

"UniMAP sentiasa komited mendampingi pelajar dalam apa jua situasi," katanya.

Di Alor Setar, Kedah, operasi pemindahan sementara 40 pelajar termasuk pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) ke tempat lebih selamat ditangguhkan ekoran hujan lebat di Hat Yai.

UUM dalam kenyataan memaklumkan koordinasi antara Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla dengan pihak berkuasa tempatan di Hat Yai akan dilaksanakan secepat mungkin apabila hujan mulai reda.

"Kebajikan dan keselamatan semua pelajar dan petugas ialah keutamaan UUM dan kini pihak universiti sedang memantau keadaan ini secara berterusan dan berhubung rapat dengan Konsulat Malaysia bagi memastikan bantuan dan sokongan dapat diberi dengan segera.

"Setakat ini, kesemua pelajar dan pensyarah pengiring dilaporkan dalam keadaan selamat, dan universiti sedang menyelaras tindakan yang perlu bagi memastikan urusan kumpulan ini dapat diteruskan dengan baik setelah keadaan kembali pulih," menurut kenyataan itu.

Sebanyak 40 pelajar serta empat pensyarah pengiring daripada Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) yang mengikuti program Thai-MYS Cultural Exchange Programme 2025 telah terkandas di Hat Yai sejak 22 Nov lepas akibat banjir.

Sementara itu, Pengurus Besar Cuti Cuti Langkawi Sdn Bhd Dr Baharin Baharom berkata keadaan banjir di Hat Yai semakin buruk, sekali gus menyebabkan ramai lagi rakyat Malaysia yang terkandas di sana.

"Air lebih tinggi hari ini, jika semalam masih nampak bumbung kereta yang diletakkan di kawasan sekitar, namun hari ini kereta yang sama sudah tenggelam sepenuhnya," katanya yang turut terkandas di Hat Yai, ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata bekalan elektrik di hotel tempatnya menginap yang menggunakan generator telah dihentikan dan bekalan air bersih juga tiada, bagaimanapun pihak hotel menyediakan makanan dua kali sehari kepada mereka yang masih terkandas di hotel terbabit.

Baharin berkata terdapat 40 warga Malaysia daripada Kelab Warga Emas Pontian, Johor turut terkandas di hotel sama dan memerlukan bekalan ubat kerana ada yang mengalami pelbagai masalah kesihatan seperti penyakit jantung dan darah tinggi.

"Ada ahli rombongan yang kehabisan stok ubat, jadi saya mohon pihak berkaitan supaya dapat membantu membawa ubat untuk mereka atau membawa mereka keluar dari sini," katanya.

Saryati Suwarno, 54, seorang daripada ahli rombongan kelab itu berkata mereka sukar untuk berhubung dengan pihak luar bagi mendapat ubat kerana bekalan elektrik terputus, malah isyarat talian perkhidmatan telefon juga sukar diperoleh.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan