MELAKA, 24 Nov (Bernama) -- Malaysian Amateur Radio Transmitters' Society (MARTS) mengumumkan pengaktifan Respons Bencana bagi seluruh rangkaian radio amatur negara susulan keadaan banjir yang semakin memburuk di Pantai Timur dan Utara Semenanjung.
Presiden MARTS Mohd Aris Bernawi berkata pengaktifan itu bertujuan memastikan komunikasi radio amatur beroperasi sebagai sistem sokongan yang cekap, berdisiplin serta selaras dengan keperluan agensi penyelamat kerajaan.
"Mekanisme respons ini menggabungkan dua rujukan utama, iaitu Arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) No. 1 dan panduan teknikal International Amateur Radio Union (IARU) bagi memastikan penyelarasan komunikasi yang tepat sepanjang operasi bencana," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd Aris berkata semua Ketua Koordinasi MARTS peringkat negeri dan daerah perlu melapor diri kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) sebelum melaksanakan sesuatu tugas kerana pergerakan atau pengaktifan secara sukarela tanpa koordinasi rasmi tidak disarankan atas faktor tatacara pentadbiran dan keselamatan.
Beliau berkata bagi memastikan ketepatan dan kelancaran komunikasi, semua ahli hendaklah mematuhi etika rangkaian IARU termasuk mewujudkan Stesen Kawalan Net (NCS) yang bertauliah untuk mengurus aliran trafik komunikasi dan menggunakan frekuensi kecemasan yang telah ditetapkan.
"Keutamaan mutlak mesti diberikan kepada mesej kecemasan dan keperluan logistik di kawasan bencana, manakala semua laporan situasi wajib direkodkan secara bertulis menggunakan format mesej berstruktur bagi tujuan audit dan ketepatan. Perbualan tidak penting hanya dibenarkan apabila frekuensi benar-benar lengang,” katanya.
Mohd Aris berkata selaras dengan Garis Panduan Keselamatan IARU, keselamatan pengendali ialah keutamaan dengan pengendali dilarang memasuki kawasan berisiko tinggi tanpa kelengkapan perlindungan diri yang bersesuaian.
Beliau berkata pengendali radio amatur juga perlu memastikan bekalan kuasa, makanan dan ubat-ubatan sendiri mencukupi untuk sekurang-kurangnya 72 jam operasi tanpa bantuan luar.
“Dalam situasi bencana, radio amatur bukan sekadar hobi, tetapi duta profesional komunikasi negara. Dengan menggabungkan struktur arahan NADMA dan piawaian teknikal IARU, kita memastikan setiap pancaran radio memberikan nilai kepada usaha menyelamatkan nyawa.
"Saya menyeru semua ahli agar mengekalkan profesionalisme, mematuhi arahan dan terus berkhidmat demi negara,” katanya.
Dalam kenyataan sama, MARTS turut menggesa semua pengendali radio amatur berlesen untuk memantau frekuensi kecemasan yang telah diwartakan dan bersedia dikerahkan apabila diperlukan.
"Situasi di Hat Yai, Thailand, dengan bekalan elektrik dan sistem telekomunikasi terputus, menjadi peringatan bahawa sokongan komuniti radio amatur amat diperlukan dalam keadaan kritikal seperti banjir besar," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial