PARIT, 24 Nov (Bernama) -- Kerajaan negeri melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak akan mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas banjir dapat menduduki peperiksaan tanpa sebarang kekangan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata langkah itu turut merangkumi pengaktifan kerjasama antara agensi bagi mengeluarkan calon dari kawasan terjejas dan membawa mereka ke pusat peperiksaan dengan selamat.
“Saya telah arahkan Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan JPN Perak untuk menggunakan apa jua kaedah yang sesuai, termasuk kerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan semua calon SPM dapat menduduki peperiksaan.
“Kita juga sedang mengumpulkan data lengkap bagi merangka pelan kontingensi yang lebih efektif,” katanya ketika ditemui pada Program Impak@Komuniti Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Seri Iskandar 2025 di Kampung Tanjung Medan, di sini hari ini.
Lebih 40 pelajar IKBN Seri Iskandar menyertai program khidmat masyarakat membersihkan sebuah rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) milik ibu tunggal, Faridah Abdullah di kampung berkenaan.
Sementara itu, Khairudin berkata pihaknya juga telah meminta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta sekolah supaya menyediakan sesi kaunseling bagi mengurangkan tekanan emosi calon yang berhadapan suasana tidak selesa, sekali gus memastikan tumpuan mereka tidak terjejas.
Semalam, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memaklumkan keutamaan kini ialah memastikan calon SPM dapat menduduki peperiksaan tanpa halangan dengan OPS Payung turut diaktifkan sebagai langkah kesiapsiagaan melibatkan kerjasama pelbagai agensi.
Menurut Kementerian Pendidikan, peperiksaan SPM 2025 membabitkan 413,372 calon, bermula 3 Nov hingga 23 Dis di 3,350 pusat peperiksaan di seluruh negara.
Perak antara negeri terjejas banjir dengan lebih 1,000 mangsa ditempatkan di 16 PPS di Manjung, Perak Tengah, Larut Matang Selama dan Batang Padang hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial