AM > BERITA

Agensi Tindak Balas Bencana Telah Siap Siaga Sebelum MTL - KP NADMA

24/11/2025 10:19 PM

KOTA BHARU, 24 Nov (Bernama) -- Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menegaskan bahawa semua agensi tindak balas bencana di seluruh negara telah berada pada tahap kesiapsiagaan penuh lebih awal bagi menghadapi gelombang pertama serta gelombang seterusnya Monsun Timur Laut (MTL).

Ketua Pengarah NADMA Meor Ismail Meor Akim berkata persiapan rapi melibatkan semua agensi dilaksanakan lebih awal manakala pelancaran kesiapsiagaan pada 30 Okt lepas hanyalah langkah simbolik bagi mengukuhkan koordinasi antara agensi.

"Persiapan kita mula awal, semua agensi sudah siap siaga. Pelancaran pada 30 Okt itu hanya simbolik untuk memperkuat koordinasi bukan kerana agensi belum bersedia," katanya kepada pemberita selepas meninjau mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sabak hari ini.

Beliau berkata NADMA bersama agensi-agensi penyelamat mempunyai anggaran kekuatan 100,000 anggota yang ditugaskan membantu mangsa banjir, selain pelbagai aset logistik.

"Kita mempunyai aset lengkap termasuk lori, bot, helikopter serta gudang penyimpanan bekalan yang boleh digerakkan mengikut keperluan,” katanya.

Meor Ismail berkata setakat ini 38 PPS dibuka di Kelantan dan beliau berpuas hati dengan pengurusan di semua PPS yang berada dalam keadaan teratur serta mengikut piawaian operasi ditetapkan.

"Secara keseluruhan, kawalan dan pengurusan di PPS baik, makanan cukup, tempat tinggal selesa dan saya tidak nampak sebarang masalah besar. Semua agensi menunjukkan kerjasama yang sangat baik untuk menguruskan mangsa,” katanya.

Beliau berkata tinjauan turut mendapati beberapa kawasan berhampiran PPS yang sebelum ini dinaiki air setinggi satu kaki telah kembali pulih.

"Semalam kawasan ini hampir satu kaki air, tapi hari ini sudah surut sepenuhnya. Cuaca pun baik dan kita harap keadaan terus bertambah baik,” katanya.

Sementara itu, Meor Ismail berkata situasi di negeri-negeri lain yang turut terkesan monsun berada dalam keadaan terkawal setakat ini.

"Kelantan merekodkan jumlah mangsa yang agak tinggi berbanding enam negeri lain seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Terengganu," katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan semua mangsa yang berpindah ke PPS untuk membuat pendaftaran bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan cepat.

“Semua mangsa perlu daftar supaya bantuan mudah disalurkan. Bantuan bencana RM1,000 tidak diberikan secara tunai di PPS tetapi akan dikreditkan terus ke akaun bank mereka manakala yang tiada akaun boleh tuntut di kaunter BSN (Bank Simpanan Nasional)," katanya.

Menyentuh isu penyebaran video lama banjir di media sosial, Meor Ismail menasihati orang ramai agar tidak terpengaruh dan hanya merujuk maklumat rasmi.

“Ada yang muat naik video banjir lama dan ini boleh timbulkan panik. Saya mohon orang awam rujuk saluran rasmi dan jangan terpengaruh dengan video yang dimuat naik pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan