KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Jumlah panggilan kecemasan yang diterima menerusi Sistem Next Generation Malaysian Emergency Response Services 999 (NG MERS 999) sejak pelancarannya pada 15 Nov lepas adalah tinggi tetapi masih dalam keadaan terkawal, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Beliau berkata walaupun jumlah panggilan kecemasan itu lebih tinggi berbanding sistem lama MERS 999, 95 peratus panggilan berjaya dijawab dan diproses dalam tempoh lapan saat.
Teo menjelaskan bahawa pada hari pertama NG MERS 999 beroperasi, sebanyak 50,000 panggilan diterima, berbanding purata harian platform lama sebanyak 28,000 panggilan.
“Pada 16 Nov, panggilan masuk meningkat kepada 60,000; 17 Nov (61,000); 18 Nov (55,000); 19 dan 20 Nov (38,000); 21 Nov (49,000); 22 Nov (53,000) dan semalam sebanyak 50,000 panggilan.
“Kami akui minggu lalu terdapat banyak panggilan yang tidak dijawab akibat peningkatan mendadak panggilan masuk. Namun, selepas TM (Telekom Malaysia) menambah bilangan ejen di pusat panggilan, keadaan kini terkawal walaupun jumlah panggilan lebih tinggi berbanding platform lama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Komunikasi di Dewan Rakyat hari ini, selepas ia dibahaskan oleh 17 Ahli Parlimen.
Teo menegaskan kementerian memantau secara berterusan terhadap prestasi sistem berkenaan selain meminta orang ramai mengemukakan aduan sekiranya panggilan lewat dijawab.
“Telekom Malaysia (TM) juga diarahkan menghubungi semula semua panggilan terputus bagi memastikan pemanggil mendapat bantuan.
“Bagi kawasan bandar atau luar bandar, tiada isu liputan. Panggilan 999 tetap boleh dihubungi dan merupakan saluran utama yang perlu digunakan,” katanya.
Beliau berkata ujian penerimaan pengguna (UAT) sistem itu dijalankan tahun ini bersama agensi terlibat seperti Polis Diraja Malaysia pada 11 Julai lepas, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (27 Julai), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (3 Sept) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (23 Sept), manakala bagi Kementerian Kesihatan pula sebanyak lima kali.
Berhubung aplikasi SafeME 999, sebagai saluran tambahan kepada panggilan kecemasan, beliau berkata TM sedang menambah baik proses pendaftaran aplikasi tersebut dengan kaedah log masuk tunggal menggunakan MyDigital ID. Aplikasi itu dibangunkan sejak 2024 sebelum MyDigital ID bersedia sepenuhnya.
“Perkara ini sedang diperbaiki bagi memudahkan pengguna. SafeME 999 telah dimuat turun sebanyak 247,000 kali dengan 61,000 pengguna mendaftar setakat 23 Nov,” katanya.
Mengulas kos keseluruhan RM1.25 bilion bagi NG MERS 999, Teo menjelaskan ia merangkumi tempoh konsesi 12 tahun, iaitu satu tahun pembangunan dan 11 tahun operasi. Sistem dibangunkan secara kerjasama awam-swasta melalui rundingan terus dengan TM berdasarkan Model Sewaan Perkhidmatan, mengutamakan kos, tempoh sewaan, skop perkhidmatan, terma dan syarat perjanjian serta aspek pembangunan sistem baharu.
“Selain itu, kontrak penyelenggaraan dan pengurusan operasi Sistem MERS 999 oleh TM dilanjutkan dengan terma sedia ada sehingga NG MERS 999 beroperasi sepenuhnya,” katanya.
Dewan Rakyat kemudiannya meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan berjumlah RM2,555,064,700 bagi kementerian itu dalam Belanjawan 2026, dengan majoriti suara bersetuju.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial