AM > BERITA

KSN Minta NADMA Pergiat Koordinasi, Pengurusan Bencana Diselaras Dengan Baik - Meor Ismail

24/11/2025 07:05 PM

PUTRAJAYA, 24 Nov (Bernama) -- Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) diminta mempergiat koordinasi dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) bagi negeri yang terjejas banjir berhubung keperluan di lapangan supaya tindakan segera dapat diambil.

Ketua Pengarah NADMA Meor Ismail Meor Akim berkata perkara berkenaan diutarakan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar setelah meninjau koordinasi pengurusan bencana dan operasi Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 di Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), Pulau Meranti, Puchong, dekat sini pagi tadi.

“NADMA diminta bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri bagi memastikan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas dengan banjir ini boleh ke pusat peperiksaan.

“Untuk itu, penyelarasan dengan pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) (akan dilaksanakan) bagi menyediakan pengangkutan untuk membawa calon ke pusat peperiksaan atau memindahkan mereka ke asrama bagi membolehkan mereka menduduki peperiksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memaklumkan Shamsul Azri turut meminta NADMA memastikan pengurusan bencana diselaras dengan baik bersama agensi berkaitan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, selain memastikan semua Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) negeri dan daerah diaktifkan supaya penyelarasan pengurusan bencana banjir dapat diuruskan dengan teratur dan berkesan.

Menurut Meor Ismail, beliau akan turun padang ke Kelantan hari ini dan pada masa sama, NADMA turut menggerakkan 10 anggota pasukan peninjau daripada Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas (SMART) dengan membawa aset antaranya dua lori, kenderaan pacuan empat roda dan bot bagi membantu operasi menyelamat.

“Pasukan SMART ini digerakkan sebagai pasukan sokongan dan aset menyelamat khas kepada agensi pegerak balas sedia ada di negeri-negeri yang sedang menjalankan operasi mengikut keperluan,” katanya.

Ketika ini, beliau berkata semua agensi tindak balas antaranya APM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat  dan agensi berkaitan berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi.

NDCC juga beroperasi 24 jam untuk memantau dan menyelaras maklumat serta memastikan amaran awal disampaikan tepat pada masanya, dan kerajaan sentiasa komited memastikan setiap langkah kesiapsiagaan serta tindak balas dilaksanakan secara menyeluruh bagi melindungi keselamatan rakyat sepanjang tempoh amaran hujan berterusan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia.

Jumlah mangsa banjir di lima negeri terjejas setakat 4 petang ini terus menunjukkan trend meningkat dengan Kelantan merekodkan jumlah tertinggi.

Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kedah turut mencatatkan peningkatan mangsa manakala jumlah mereka terjejas di Terengganu berkurangan.

Musim MTL bermula pada 13 Nov lepas dan dijangka berterusan hingga Mac 2026.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan