ALOR SETAR, 24 Nov (Bernama) -- Walaupun berada dalam keadaan tertekan kerana masih tidak dapat pulang susulan banjir yang melanda Thailand, rakyat Malaysia yang terkandas di sana tetap bersyukur atas keprihatinan masyarakat tempatan, termasuk ada hotel sanggup menawarkan penginapan percuma.
Pengurus Besar Cuti Cuti Langkawi Sdn Bhd Dr Baharin Baharom yang kini berada di Hatyai berkata selain itu pihak pengurusan hotel turut menyediakan makanan percuma kepada pelanggan mereka yang terjejas.
“Kami telah daftar keluar daripada hotel kerana dimaklumkan ada bantuan bot akan tiba tetapi selepas tiga jam kami tunggu, masih tiada sebarang bantuan sampai.
“Kami juga diarahkan untuk mengosongkan kawasan lobi hotel kerana air telah mula naik. Gelombang kedua ini lebih teruk, walaupun kedudukan hotel kami di kawasan yang tinggi tetapi air sudah mula naik hingga kawasan lobi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pihak kedutaan Malaysia turut menghantar makanan untuk diberikan kepada warga emas dan kanak-kanak.
“Selepas ini, pihak hotel mungkin tidak lagi boleh menyediakan makanan kerana bahagian dapur mereka juga telah dinaiki air. Tetamu juga mungkin tidak boleh mengecas telefon bimbit mereka kerana generator tidak dapat dihidupkan.
“Tapi saya mohon supaya pihak kedutaan Malaysia atau kerajaan Thailand dapat menghantar bekalan ubat-ubatan diperlukan warga emas, yang antaranya menghidap sakit jantung dan darah tinggi,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial