DUNIA > BERITA

KETUA PBB TEGASKAN HAK PALESTIN TUBUH NEGARA SENDIRI, GESA BANTUAN KEMANUSIAAN SEGERA

26/11/2025 05:26 PM

NEW YORK, 26 Nov (Bernama-WAFA) -- Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Selasa menegaskan bahawa rakyat Palestin berhak mendapat kehidupan yang bermaruah, keadilan dan menentukan nasib sendiri, sama seperti semua negara lain.

Agensi Berita Palestin (WAFA) melaporkan bahawa Guterres menekankan bahawa penubuhan sebuah negara Palestin merupakan hak yang sah.

Berucap pada mesyuarat khas sempena Hari Solidariti Antarabangsa bersama Rakyat Palestin, beliau mengulangi gesaannya agar pendudukan haram ke atas tanah Palestin ditamatkan, seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa dan Perhimpunan Agung PBB.

Beliau turut mengulangi gesaan untuk mencapai kemajuan tidak boleh diubah lagi ke arah penyelesaian dua negara selaras dengan undang-undang antarabangsa dan resolusi PBB berkaitan, dengan Israel dan Palestin hidup dalam keadaan aman dan selamat berdasarkan sempadan pra-1967 yang diiktiraf, dengan Baitulmuqaddis sebagai ibu kota kedua-dua negara.

Ketua PBB itu menarik perhatian terhadap kesan kemusnahan di Semenanjung Gaza dalam tempoh dua tahun akibat serangan Israel yang mengakibatkan lebih 70,000 orang maut, ratusan ribu lagi cedera, kemusnahan infrastruktur yang meluas serta kebuluran, penyakit dan trauma psikologi.

Beliau turut menegaskan kesukaran hidup yang dihadapi rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmuqaddis Timur, berikutan serangan tentera dan keganasan peneroka haram Israel, perluasan penempatan, pengusiran dan perobohan.

Guterres menyifatkan perjanjian gencatan senjata Gaza yang dicapai pada Oktober sebagai sinar harapan dan menggesa semua pihak mematuhinya sepenuhnya serta bergerak segera ke fasa seterusnya.

Beliau memuji usaha negara pengantara, khususnya Mesir, Qatar, Turkiye dan Amerika Syarikat selain menegaskan keperluan menterjemah momentum diplomatik kepada kemajuan nyata di lapangan.

Ketua PBB itu menekankan keperluan mendesak untuk memastikan bantuan kemanusiaan sampai ke Gaza tanpa halangan dalam skala besar. Beliau mengesahkan semula kewajipan Israel seperti yang dinyatakan dalam pendapat nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa baru-baru ini dan menggesa semua negara anggota memenuhi rayuan kecemasan berjumlah US$4 bilion bagi wilayah Palestin yang diduduki.

Guterres turut menegaskan peranan penting Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) dan menggesa masyarakat antarabangsa menyokong usaha agensi itu di Tebing Barat, Gaza serta pelarian Palestin di seluruh rantau berkenaan.

Beliau berkata bilangan wartawan yang terkorban dalam tempoh dua tahun ini melebihi angka mana-mana konflik sejak Perang Dunia Kedua, dengan majoritinya merupakan rakyat Palestin. 

Guterres mengakhiri ucapan dengan menegaskan komitmen teguh PBB terhadap rakyat Palestin dan hak mereka untuk menentukan nasib sendiri, serta menggesa masyarakat antarabangsa mengubah harapan kepada tindakan.

-- BERNAMA-WAFA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan