AM > BERITA

PRN Sabah: Cuaca Hujan Dan mendung Di Beberapa Pusat Undi Awal 

25/11/2025 10:16 AM

KOTA KINABALU, 25 Nov (Bernama) – Hujan dan cuaca mendung melanda beberapa pusat pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pagi ini, namun tidak menjejaskan kelancaran proses pengundian.

Antara pusat pengundian awal yang mengalami hujan ialah Mess Pegawai Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Sekolah Agama Rakyat (SAR) Kem 5 Divisyen Lok Kawi serta Sekolah Kebangsaan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini.

Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan payung bagi kemudahan pengundi awal yang terdiri daripada anggota polis, tentera dan pasangan mereka, yang hadir seawal 7.30 pagi.

Individu terawal yang hadir menunaikan tanggungjawab di SAR Kem 5 Divisyen Lok Kawi termasuk Panglima 5 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Noorrul Azril Ariffin bersama isteri Datin Noriza Md Rashid, manakala Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun hadir di Mess Pegawai Kanan IPK Sabah.

Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya, dan calon Barisan Nasional (BN) Jeffery Nor Mohamed, turut meninjau proses pengundian awal di SAR Kem 5 Divisyen Lok Kawi.

Turut hadir di sekolah berkenaan ialah Panglima Medan Timur Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi.

Seramai 3,097 pengundi awal terdiri daripada anggota tentera dan pasangan mereka di pusat tersebut.

Sementara itu, cuaca cerah dan baik dilaporkan di beberapa pusat pengundian awal lain, termasuk Markas Ke-13 Briged Infantri Kem Cenderawasih, Lahad Datu; Blok Serbaguna 15, Batalion 15 PGA Sandakan, Sandakan, dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Tawau.

Calon BN bagi DUN Tungku, Saleha Abdul Wahid, melawat pusat pengundian awal di Dewan Gagah Berani, Kem Cenderawasih, Lahad Datu, manakala calon Pakatan Harapan (PH) DUN Segama, Romansa Lamin, menyantuni anggota pasukan keselamatan di Dewan Mawar, IPD Lahad Datu.

Pengundi awal daripada polis dan tentera dilihat menunjukkan jari dicelup dakwat selepas selesai mengundi, disaksikan oleh ejen-ejen calon bertanding.

Akademi SPR turut menyiarkan siaran langsung pagi ini untuk memberikan maklumat dan memantau kelancaran proses pengundian awal.

Sebanyak 58 pusat pengundian awal dibuka serentak di seluruh negeri bermula 8 pagi dan ditutup secara berperingkat. Namun, semua kertas undi hanya akan dikira pada hari pengundian sebenar pada 29 Nov.

Pilihan raya negeri kali ini menyaksikan 596 calon bertanding untuk merebut 73 kerusi DUN, termasuk 74 calon bebas. Tempoh berkempen PRN Sabah ke-17, yang bermula 15 Nov lepas, akan berakhir pada 11.59 malam, 28 Nov.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan