AM > BERITA

Selangor Lancar SELKitar Permudah Amalan Kitar Semula Di Seluruh Negeri

25/11/2025 01:44 PM

SHAH ALAM, 25 Nov (Bernama) -- Kerajaan Selangor hari ini melancarkan Program Selangor Kitar Semula (SELKitar) bagi mengangkat agenda kitar semula sekali gus memperkukuh usaha kelestarian alam sekitar di negeri ini.

‎‎Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata setakat Oktober lepas sebanyak 77,072 kilogram (kg) bahan kitar semula berjaya dikutip di bawah program itu melibatkan daerah Sepang, Kuala Langat, Kuala Selangor, Kajang, Selayang, Ampang dan Hulu Selangor.

‎‎Beliau berkata menerusi kerjasama rakan korporat seperti Nestle Malaysia dan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan, program berkenaan berjaya mencapai 412,812 rumah dan premis di sekitar Selangor selain hasrat untuk meningkatkan lagi kapasiti kutipan pada masa hadapan. 

‎‎"Tahun depan kita akan pergiatkan dengan melihat e-waste pula sambil kita akan cuba menambah dan pergi ke semua daerah dan mencari rakan strategik lain. Saya nak alu-alukan rakan-rakan strategik ini dan kita nak lihat apa cadangan untuk memberikan insentif kepada mereka yang terlibat.

‎‎"Ini kerana mereka menggunakan peruntukan yang sedia ada pada tangan mereka dan ini mungkin boleh ditimbalkan dengan beberapa kelebihan ataupun insentif yang kita boleh fikirkan untuk menggalakkan lebih ramai pihak terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan program SELKitar," katanya. 

‎‎Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Pelancaran SELKitar Negeri Selangor serta Majlis Penyerahan Lori SELKitar di sini hari ini. 

‎‎Sementara itu, Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor Jamaliah Jamaluddin berkata sebanyak 21 lori khusus untuk operasi kutipan dikendalikan KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) disediakan bagi menjayakan usaha itu. 

‎‎Beliau berkata setiap lori akan mengutip barang kitar semula dari kira-kira 1,500 unit rumah secara purata pada setiap hari operasi.

‎‎"Program ini memberi fokus kepada pengasingan barangan kitar semula pada punca. Langkah paling penting dalam memastikan bahan kitar semula tidak menyumbang kepada pencemaran, tidak terbuang begitu sahaja, dan tidak berakhir di tapak pelupusan.

‎‎"Melalui perancangan bersama Media Selangor dan KDEBWM, kempen SELKitar akan menggunakan slogan ‘asingkan, pulangkan’ yang menjadi seruan bahawa sebenarnya, apa yang kita gunakan pada hari ini perlu dipulangkan kembali untuk kelestarian pada masa akan datang," katanya. 

‎‎Program SELKitar mula diperkenalkan pada 22 April lalu dan telah melalui fasa projek rintis bersama Nestle Malaysia di kawasan perumahan terpilih di bawah Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Perbandaran Sepang (MPSP) sebelum dikembangkan pada 1 Okt lepas. 

‎‎Program itu membawa perkhidmatan kitar semula secara terus ke pintu rumah masyarakat di Selangor dengan pasukan kutipan khas, jadual yang teratur, dan panduan jelas, menjadikan amalan kitar semula lebih mudah dan berkesan.

‎-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan