KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kerajaan akan terus menangani enam cabaran utama dalam sistem penjagaan kesihatan Malaysia sebagai sebahagian daripada agenda pembaharuan jangka panjang.
Beliau menjelaskan cabaran tersebut merangkumi pengukuhan infrastruktur kesihatan awam, pengurangan kesesakan di hospital kerajaan, menangani inflasi perubatan, menyelesaikan isu berkaitan doktor kontrak dan pekerja kesihatan, memperkukuh model perkongsian awam-swasta untuk ubat penting, serta memperkasakan Agenda Nasional Malaysia Sihat.
Fadillah berkata komitmen kerajaan terserlah melalui peruntukan RM46.5 bilion kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dalam Belanjawan 2026, meningkat berbanding RM45.3 bilion pada tahun ini.
“Pendekatan strategik kami menumpukan kepada pengukuhan ketahanan sistem melalui inovasi berani dan kerjasama bermakna.
“Bersama-sama, kita boleh membina sistem penjagaan kesihatan yang tangkas, bersedia untuk masa depan dan mampu menghadapi cabaran esok,” katanya ketika merasmikan Malaysia International Healthcare (MIH) Megatrends 2025 hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Timbalannya Datuk Lukanisman Awang Sauni.
Sementara itu, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata program MIH Megatrends 2025 merupakan platform penting yang mengumpulkan pembuat dasar, penyelidik dan pemain industri untuk membayangkan semula masa depan penjagaan kesihatan di bawah tema “Innovating for a Healthier Sustainable Future”.
Beliau berkata program ini selaras dengan Rangka Kerja MADANI dengan memajukan inovasi dalam sektor kesihatan yang menyokong pertumbuhan inklusif dan pembangunan lestari, sambil menekankan bahawa inovasi kini menjadi pemacu utama dalam menyusun semula ekonomi, meningkatkan produktiviti dan memperbaiki kualiti hidup secara keseluruhan.
“Berbeza dengan sektor lain, sektor kesihatan beroperasi dalam ketidakpastian tertentu, maklumat yang tidak seimbang antara penyedia dan pesakit, serta melibatkan campuran kompleks antara sektor awam dan swasta.
“Selaras dengan nilai-nilai MADANI – Kemampanan, Kesejanteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan - inisiatif ini mencerminkan model whole-of-society yang mengukuhkan sistem kesihatan kita sebagai sebahagian daripada transformasi ekonomi Malaysia yang lebih luas,” tambah beliau.
Beliau turut mengingatkan rakyat Malaysia supaya terus bersatu dalam menghadapi cabaran kesihatan moden, sama seperti semasa negara menghadapi pandemik COVID-19.
Selain itu, Fadillah menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan setiap individu mendapat akses kepada penjagaan kesihatan asas yang berkualiti sepanjang hayat, tanpa mengira latar belakang atau status sosioekonomi.
Program tiga hari MIH Megatrends 2025, yang bermula hari ini, dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama strategik KPJ Healthcare dan menarik penyertaan lebih 1,500 peserta, termasuk profesional kesihatan, pembuat dasar dan pemimpin industri dari seluruh dunia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial