PETALING JAYA, 25 Nov (Bernama) -- Sunway Malls melancarkan kempen akhir tahun bertemakan Cozy Cozy Christmas, yang menampilkan pemasangan hiasan imersif, bengkel kreatif dan aktiviti berfokuskan komuniti di semua pusat beli-belah mereka di seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Malls HC Chan berkata tema kempen itu diinspirasikan daripada trend global kidult, yang menggabungkan keseronokan nostalgia dengan daya tarikan barangan koleksi yang lembut dan selesa.
“Kami berharap dapat mewujudkan suasana hangat dan mesra melalui kemewahan perayaan dan membawa senyuman kepada para pengunjung memandangkan tema ini dibawakan di semua pusat beli-belah kami di seluruh negara,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan kempen berkenaan di Sunway Pyramid malam ini.
Chan berkata kempen tahun ini turut melibatkan kerjasama dengan UOB Bank untuk memberikan ganjaran kepada pemegang kad melalui keistimewaan eksklusif dan sajian perayaan, sekali gus membawa pengalaman menarik kepada pembeli sepanjang musim hujung tahun yang sibuk, termasuk cuti perayaan, cuti sekolah, jualan Black Friday dan jualan akhir tahun.
Chan berkata selain berkongsi keriangan perayaan, Sunway Malls juga akan meneruskan usaha kemasyarakatannya melalui kerjasama dengan GOLD (Generating Opportunities for Learning Disabilities), sebuah pertubuhan tidak berasaskan keuntungan yang berdedikasi untuk memperkasakan golongan dewasa muda neurodivergen di Malaysia sejak 1998.
“Krismas ialah musim memberi dan ketika kami berkongsi keriangan serta semangat perayaan, kami turut menyumbang kembali kepada komuniti melalui kerjasama dengan GOLD. Sunway Group sentiasa komited menyokong GOLD dan memberi sumbangan signifikan kepada misi mereka,” katanya.
Kempen yang berlangsung dari akhir November hingga awal Januari itu menampilkan hiasan dan program perayaan mengikut kesesuaian setiap pusat beli-belah, selaras dengan usaha Sunway untuk mewujudkan pengalaman bersama keluarga dan komuniti.
Di Sunway Pyramid, sambutan berlangsung di LG2 Blue Concourse dengan Laluan Pokok Gergasi setinggi 40 kaki, Paparan Cozy Leo setinggi 15 kaki serta rangkaian barangan hiasan perayaan oleh Famous Amos, Luna Jewellery, Hydro Flask dan Kiehl’s.
Para pengunjung juga boleh menyertai Bengkel Joyful & Cozy untuk menghasilkan rantai kunci peribadi atau membalut hadiah di Stesen Bungkus Hadiah Cozy percuma manakala hujung minggu pula menampilkan persembahan Christmas on Ice serta sesi ramah mesra perayaan bersama Santa.
Pusat beli-belah itu juga menggerakkan Spirit of Cozy Giving, iaitu dana yang dikumpul melalui pengambilan anak patung lembut (plushie) dan hantaran media sosial akan disalurkan kepada komuniti GOLD.
Sementara itu, di Sunway Velocity Mall, para pengunjung boleh menantikan persembahan dan bengkel kreatif yang menawarkan kraf perayaan seperti anak patung lembut, jambangan Krismas, semburan bantal dan pokok Krismas mini.
Menambahkan kehangatan sambutan, Projek Krismas Heartmade memberikan keceriaan kepada pesakit pediatrik di Sunway Medical Centre Velocity melalui aktiviti kraf, tayangan filem dan pemberian hadiah Santa, serta diteruskan dengan pembinaan Pokok Krismas Heartmade yang boleh dihias bersama oleh para pengunjung.
Di Johor, Sunway Big Box Retail Park akan menganjurkan kempen Gabby’s Dollhouse: The Movie dari 5 hingga 31 Dis di Main Concourse (East Wing), yang menampilkan aktiviti pengembaraan bertema, sesi ramah mesra hujung minggu bersama Gabby dan pelbagai peluang bergambar.
Kanak-kanak yang melengkapkan semua stesen pengembaraan dan mengumpul setem pada Kad Pengembaraan boleh menebus hadiah khas Gabby.
Tambahan terkini dalam keluarga Sunway Malls, Sunway Square Mall akan dibuka pada 11 Dis, dimulakan dengan dua bazar perayaan, iaitu Hoholand dari 11 hingga 14 Dis yang menawarkan pelbagai barangan Krismas unik, persembahan dan bengkel serta Sunset in the City dari 19 Dis hingga 4 Jan, sebuah bazar bertema Krismas yang hangat dan berterusan sehingga tahun baharu.
Bagi menambah semangat perayaan, Sunway Malls menawarkan ganjaran musim perayaan mengikut tahap perbelanjaan.
Dari 28 Nov hingga 4 Jan 2026, pembeli yang berbelanja sekurang-kurangnya RM150 dalam maksimum dua transaksi pada hari yang sama di Sunway Malls yang mengambil bahagian boleh menerima satu putaran digital di Sunway Super App, dengan setiap putaran membuka kunci kejutan perayaan segera termasuk baucar eksklusif hinggalah hadiah Cozy.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial