AM > BERITA

Proses Undi Awal PRN Sabah Ke-17 Berjalan Lancar

25/11/2025 01:34 PM

KOTA KINABALU, 25 Nov (Bernama) -- Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 di 58 pusat mengundi berlangsung dengan lancar meskipun cuaca mendung dan hujan di beberapa kawasan sejak awal pagi.

Tinjauan Bernama di beberapa pusat pengundian awal mendapati suasana terkawal, dengan anggota tentera, polis serta pasangan masing-masing hadir seawal 7 pagi untuk menunaikan tanggungjawab sebelum pusat mengundi dibuka tepat pada 8 pagi.

Di KOTA KINABALU, anggota polis mula beratur di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah seawal 7.30 pagi manakala Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun tiba pada 8.48 pagi untuk mengundi di saluran satu.

Beliau berkata semua pegawai dan anggota telah diingatkan supaya hadir lebih awal berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.

"Setakat ini, semua berjalan lancar walaupun keadaan cuaca tidak berapa elok tetapi Alhamdulillah, selepas proses pengundian awal bermula, cuaca semakin baik dan kita harap keadaan ini akan berterusan hingga tamat proses undi awal petang nanti," katanya.

Di PUTATAN, proses pengundian awal turut berlangsung secara teratur di Sekolah Agama Rakyat Kem 5 Divisyen Lok Kawi dengan warga tentera darat dan pasangan beratur seawal 7.30 pagi.

Panglima 5 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Noorrul Azril Ariffin dan isteri, Datin Noriza Md Rashid, menjadi individu pertama mengundi tepat pada 8 pagi.

Seramai 3,097 pengundi terdiri daripada 2,569 anggota tentera dan 528 pasangan dijadual menunaikan tanggungjawab di pusat berkenaan melalui enam saluran.

Panglima Medan Timur Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi turut hadir meninjau proses pengundian awal bersama calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat Jeffery Nor Mohamed dan calon GRS Shah Alfie Yahya.

Di SANDAKAN, anggota mula berkumpul di Batalion 15 PGA seawal 7 pagi bagi melaksanakan kewajipan masing-masing.

Pegawai Pemerintah Batalion 15 PGA Sandakan Pemangku Superintenden Wilynton Enchana Watt berkata beliau berharap semua 692 anggota yang layak mengundi melaksanakan tanggungjawab mereka hari ini.

Sementara itu, di LAHAD DATU,  perjalanan undi awal di Dewan Sri Mawar, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu berjalan lancar.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Dzulbaharin Ismail berkata pegawai dan anggotanya telah mula berkumpul seawal 8 pagi untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi awal.

Secara keseluruhan, seramai 651 pengundi terdiri daripada pegawai dan anggota IPD Lahad Datu, Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) serta pasangan masing-masing terlibat dalam proses pengundian awal di kawasan itu.

Selain itu, Dzulbaharin berkata sebanyak 227 permit kempen telah dikeluarkan kepada calon manakala dua kertas siasatan dibuka mengikut Akta Pilihan Raya dan Kanun Keseksaan di daerah itu setakat semalam.

Beliau berkata Polis Diraja Malaysia turut menubuhkan pasukan bencana khas sebagai persiapan mendepani sebarang kemungkinan terutama banjir.

"Kita doakan agar cuaca bagus dan keadaan pada hari mengundi nanti berjalan lancar, dan setiap pemilih berdaftar dapat menjalankan tanggungjawabnya," kata beliau.

Secara keseluruhan, seramai 24,426 pengundi awal terdiri daripada 11,697 anggota tentera dan pasangan serta 12,729 anggota polis dan pasangan masing-masing dijadualkan mengundi hari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Seri Ramlan Harun memaklumkan setakat 11 pagi, peratusan keluar mengundi awal ialah 61.72 peratus.

PRN Sabah ke-17 menyaksikan 596 calon bertanding merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk 74 calon Bebas.

Tempoh berkempen yang bermula 15 Nov lepas akan berakhir pada 11.59 malam 28 Nov ini.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan