AM > BERITA

Keselamatan Aspek Utama, Tiga Wanita Berpantang Segera Pindah Ke PPS

25/11/2025 03:49 PM

TUMPAT, 25 Nov (Bernama) -- Bimbang dengan keselamatan bayi menyebabkan tiga wanita yang masih berpantang membuat keputusan segera berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Geting di sini selepas rumah mereka dinaiki air, dua hari lepas. 

Pembantu am sekolah Norhafiza Mat Yaacob, 39, berkata anak keenamnya Nur Maryam Qhairina Sukiman yang berusia 50 hari merupakan bayi pramatang, menyebabkan dia bimbang risiko terperangkap di rumah jika lambat berpindah memandangkan air naik terlalu cepat. 

“Itu pun air sudah paras pinggang di luar rumah semasa kami membawa bayi keluar menaiki perahu. Ini kali ketiga saya berpindah, tapi pertama dalam pantang. Selepas sampai di PPS, barulah saya dapat tenangkan diri,” katanya kepada Bernama semasa ditemui di PPS itu hari ini.

Noor Azrinie Mohd Ali, 29, yang berpantang di Kampung Pak Keral Hulu berkata membuat keputusan berpindah dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda dipandu suami Muhammad Irwanshah Ab Halim, 28,  selepas melihat air mula memasuki dapur.

Noor Azrinie yang berpantang selepas melahirkan anak Nur Inara Elvina, 53 hari, berkata bersyukur kerana bertemu dengan “rakan senasib” di PPS yang membantunya berhadapan situasi itu. 

Wanita itu juga lega dengan kehadiran petugas kesihatan di PPS itu yang kerap membuat pemantauan berkala kepada ibu berpantang untuk memastikan mereka dalam keadaan baik. 

Sementara itu  Nadzirah Mohd Rupi, 32, berkata suaminya Muhammad Zulkarnain Sudin, 33, membuat keputusan untuk berpindah  ke PPS dengan meredah banjir menggunakan van walaupun terdapat perahu di rumah kerana bimbang dengan keselamatan anak Ainul Maisarah, 63 hari. 

“Bila bawa anak, perahu buat kami lebih risau dan saya hanya berasa lega selepas tiba di PPS,” katanya.

Sementara itu di BACHOK, pengalaman berpindah akibat banjir tahun lepas membantu dua beradik Orang Kurang Upaya (OKU) Mohd Afiq Fairus, 22 dan Muhd Adam Danish, 14, untuk lebih tenang apabila dimaklumkan perlu ke PPS Sekolah Kebangsaan Pauh Sembilan di sini.

Kakak mereka Nurul Awatif Sudin, 25, berkata dua adiknya mengalami sindrom Down, masalah pembelajaran dan kecacatan kaki, tidak menjerit atau menangis untuk meninggalkan rumah yang sudah dinaiki air. 

“Tahun lepas memang susah. Banyak kali dipujuk tapi mereka tetap enggan tinggalkan rumah sehingga kami berasa hampir putus asa untuk mengajak mereka berpindah.

“Berbeza tahun ini, mereka terus mencari barang kesayangan termasuk peralatan mewarna dan bersedia untuk ikut keluar rumah,” katanya. 

Nurul Awatif berkata mereka ditempatkan di sebuah bilik darjah berhampiran tandas untuk memudahkan mereka menguruskan dua adiknya selain berterima kasih dengan layanan baik petugas di PPS termasuk daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang membantu mereka lebih selesa di situ. 

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan