GEORGE TOWN, 25 Nov (Bernama) -- Universiti bukan sekadar tempat hanya untuk menuntut ilmu tetapi sebuah ekosistem yang menyuburkan pemikiran, membina karakter dan melahirkan insan seimbang di antara emosi dan spiritual.
Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalulail bertitah justeru semua pihak digesa terus memelihara tradisi kecemerlangan itu agar universiti terus menjadi gedung ilmu yang disegani bukan sahaja di dalam negara, malah di peringkat antarabangsa.
Baginda bertitah universiti juga berperanan sebagai wahana ilmu dan budi, membentuk pemikiran yang kritis serta jiwa yang terpandu dengan nilai kemanusiaan dan tanggungjawab yang luhur.
"Dalam menghadapi tekanan ekonomi, perubahan sosial dan cabaran global yang makin kompleks, masyarakat mengharapkan kepakaran dan kebijaksanaan golongan berilmu, justeru graduan harus terus tampil sebagai pemikir universal masyarakat dan penyumbang nilai agar ilmu yang dimiliki terus memberi erti dan manfaat besar kepada masyarakat.
"Kejayaan juga bukanlah titik akhir tetapi permulaan kepada graduan yang berusaha mendapatkan ilmu dan kepakaran yang diperoleh harus dipandu dengan sifat ihsan, kesungguhan, serta tekad untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat," titah baginda.
Baginda bertitah ketika menyempurnakan sidang pertama Upacara Konvokesyen ke-63 USM di Dewan Tunku Syed Putra di sini hari ini.
Turut berangkat Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.
Pada upacara itu, Tuanku Raja Perlis berkenan menyampaikan Ijazah Kehormat Doktor Perancangan Bandar dan Wilayah kepada Penasihat Hartanah bagi Petronas Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif.
Baginda juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Maimunah atas penganugerahan yang disifatkan sebagai bertepatan dengan segala sumbangan besar bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur itu dalam bidang perancangan bandar dan pembangunan negara.
"Datuk Seri Paduka Maimunah telah menunjukkan kecemerlangan dan keupayaan luar biasa di peringkat antarabangsa dan beliau sebagai tokoh global perancangan bandar, wanita Asia pertama mengetuai UN-Habitat, bekas Timbalan Setiausaha Agung PBB dan kini penasihat urbanisasi mampan serta penggerak tindakan iklim dan kepimpinan wanita," katanya.
Upacara konvokesyen itu menyaksikan seramai 9,347 graduan akan menerima ijazah masing-masing pada upacara yang bermula esok hingga 2 Dis ini melibatkan 865 graduan PhD, Sarjana (3,501), Ijazah Sarjana Muda (4,934) dan Diploma Kejururawatan (47).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial