GEORGE TOWN, 25 Nov (Bernam) -- Kerja pemasangan rasuk (beam launching) bagi Projek Pakej 2 melibatkan jalan pintasan dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Air Itam kini telah mencapai kemajuan 82 peratus.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata kerja itu melibatkan pemasangan 269 unit daripada jumlah keseluruhan 329 unit rasuk yang diperlukan bagi keseluruhan projek berkenaan.
“Pada 22 Nov lepas, tiga beam launching telah disempurnakan dengan setiap satu rasuk berukuran tinggi 2.2 meter (m), lebar 2.25 m, panjang 39.45 m dan berat 120 tan.
“Baki yang masih belum dilancarkan ialah 60 unit dan kerja-kerja pelancaran akan diteruskan mengikut seksyen, bergantung pada kesediaan substruktur, keadaan cuaca dan keselamatan tapak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zairil berkata berdasarkan jadual terkini, kerja pemasangan rasuk itu dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2026 dan merupakan antara elemen struktur utama pembinaan jejambat serta jambatan dalam projek berkenaan.
Bagi keseluruhan kemajuan projek pula, beliau berkata setakat 31 Okt, kemajuan kerja fizikal telah mencapai 87 peratus dan Penang Infrastructure Corporation (PIC) serta pihak kontraktor akan terus memastikan kerja-kerja pembinaan diteruskan dengan keutamaan terhadap keselamatan, kualiti serta pematuhan spesifikasi Jabatan Kerja Raya (JKR).
Pada Jumaat lepas, PIC menjelaskan kelewatan Projek Pakej 2: Jalan Pintasan dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Air Itam disebabkan lanjutan masa yang hanya diluluskan setelah kontraktor membuktikan kelayakan berdasarkan fakta, bukti teknikal dan syarat kontrak yang berkuat kuasa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial