AM > BERITA

NAWEM, BRICS WBA Meterai MOU Tubuh Pejabat Wilayah Di Malaysia

25/11/2025 05:36 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Persatuan Kebangsaan Usahawan Wanita Malaysia (NAWEM) dan BRICS Women’s Business Alliance (BRICS WBA) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) hari ini bagi menubuhkan Pejabat Wilayah BRICS WBA di Malaysia.

Menurut NAWEM, pejabat berkenaan akan berperanan sebagai rakan eksklusif BRICS WBA di Malaysia bagi memperkukuh kerjasama rentas sempadan dalam kalangan usahawan wanita.

“Penubuhan pejabat serantau ini akan memperluas akses pasaran, memudahkan perkongsian pengetahuan serta mengembangkan rangkaian perniagaan antara Malaysia dan negara BRICS,” menurut NAWEM dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, kerjasama terbabit mencerminkan komitmen bersama untuk memperkukuh penglibatan ekonomi wanita melalui kerjasama yang berterusan dan bermakna.

Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyaksikan pertukaran MoU itu semasa majlis pelancaran WE2025: Future in Motion di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

NAWEM diwakili Naib Presidennya Saliza Abdullah, yang juga mengetuai bersama Rangkaian Usahawan Wanita ASEAN (AWEN) Malaysia, manakala Pengerusi Cawangan Rusia BRICS WBA Anna Nesterova mewakili BRICS WBA.

Majlis berkenaan dihadiri lebih 500 tetamu termasuk Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib dan bekas Presiden Kosovo Atifete Jahjaga.

NAWEM yang ditubuhkan pada 1993 ialah persatuan usahawan wanita berbilang kaum pertama di Malaysia, manakala BRICS WBA ditubuhkan pada 2020 semasa pengerusian BRICS oleh Rusia bagi menggalakkan kepimpinan wanita dan kerjasama perniagaan dalam kalangan ekonomi anggota.

WE2025 yang berlangsung hari ini hingga Khamis menampilkan persidangan kepimpinan, pameran perdagangan, acara sampingan serta sesi padanan perniagaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan