AM > BERITA

WE2025 Himpun Pemimpin Wanita ASEAN, Pacu Pemerkasaan Ekonomi

25/11/2025 03:59 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin hari ini berkenan melancarkan edisi pertama WE2025: Future in Motion: Women in Trade, Investment, Leadership yang merupakan sebuah platform serantau menghimpunkan pemimpin wanita dalam bidang kepimpinan, perdagangan dan inovasi.

Acara tersebut berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), dengan penyertaan kira-kira 10,000 pengunjung, 150 pempamer, 1,000 perwakilan serta lebih 80 penceramah dalam pelbagai sesi persidangan dan 15 acara satelit.

Berteraskan lima tonggak iaitu ekonomi wanita, pemerkasaan, keusahawanan, kecemerlangan dan evolusi, WE2025 bertujuan memperkukuh penyertaan wanita dalam ekonomi serantau melalui dialog dasar, kerjasama strategik serta peluang perdagangan dan pelaburan.

Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib dalam ucapannya berkata kepimpinan wanita merupakan keperluan strategik negara dan menjadi antara fokus dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Masa depan Malaysia bergantung kepada usaha membuka potensi penuh setiap rakyat. Wanita mesti dilengkapkan dan diberdayakan untuk memimpin,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Qube Integrated Malaysia merangkap Pengerusi Bersama WE2025, Richard Teo berkata platform itu diwujudkan bagi memperluas jaringan kepimpinan dan perdagangan wanita, selaras dengan agenda pertumbuhan inklusif ASEAN.

Majlis turut dihadiri bekas Presiden Kosovo Atifete Jahjaga, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Abu Bakar Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin serta Pengarah Urusan Qube Integrated Jessie Tan.

Pada majlis itu, Tengku Permaisuri Norashikin turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara BRICS Women’s Business Alliance (WBA) dan Persatuan Usahawan Wanita Kebangsaan Malaysia (NAWEM) bagi penubuhan Pejabat Wilayah BRICS WBA di Malaysia, menjadikan negara ini hab strategik kerjasama ekonomi wanita dengan negara anggota

(BRICS merupakan kumpulan kerjasama ekonomi terdiri daripada Rusia, Brazil, India, China dan Afrika Selatan.)

Baginda kemudian melawat pameran perdagangan termasuk perusahaan mikro wanita di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang ditempatkan di WE2025 Marketplace.

WE2025 dianjurkan oleh Qube Integrated Malaysia dengan kerjasama KPWKM serta disokong Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), MATRADE, Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) dan MITEC.

BERNAMA merupakan rakan media rasmi bagi WE2025.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan