AM > BERITA

Fahmi Ucap Takziah Kepada Keluarga Allahyarham Dharma Harun

26/11/2025 12:13 AM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Dharma Harun Al Rashid, atas pemergian pelakon veteran itu malam ini.

Fahmi berkata beliau mengingati Allahyarham sebagai seorang yang berkeperibadian lembut, bersahaja serta dihormati ramai.

"Saya berdukacita menerima perkhabaran bahawa seniman Dharma Harun Al Rashid telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi. Pertemuan saya dengan Allahyarham pada majlis penyampaian sumbangan raya kepada artis veteran di IPPTAR (Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak) awal tahun ini masih segar dalam ingatan.

"Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau turut mendoakan seluruh keluarga Allahyarham diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan insan yang tersayang.

Terdahulu, berita pemergian Allahyarham dikongsikan oleh anak keduanya Muhammad Al Syafiq, 36, menerusi satu hantaran di Instagram.

Pada 2019, Allahyarham pernah diserang angin ahmar yang menjejaskan pertuturan, dan kesan strok serta penyakit lain turut menurunkan daya ingatannya sehingga beliau tidak lagi mampu bekerja.

Pada Februari 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Setiausaha Politik beliau Datuk Ahmad Farhan Fauzi, menyampaikan sumbangan kepada pelakon popular era 1980-an itu untuk membantu urusan hariannya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan