EKONOMI > BERITA

DRB-HICOM CATAT KEUNTUNGAN BERSIH SEMBILAN BULAN PADA RM60.62 JUTA

26/11/2025 12:03 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- DRB-HICOM Bhd telah mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM60.62 juta untuk sembilan bulan berakhir pada 30 Sept 2025, selepas disokong oleh pengukuhan dalam sektor perbankan, automotif dan perkhidmatan.

Pendapatan pula kekal mantap pada RM12.74 bilion berbanding RM12.23 bilion sebelum ini, dipacu oleh pertumbuhan di seluruh sektor utama termasuk hartanah, yang mana, perolehannya meningkat 51.0 peratus kepada RM197.68 juta daripada RM130.89 juta dari tahun ke tahun berikutan kemajuan dalam projek-projek pembangunan konsesinya.

DRB-HICOM melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata bahagian perkhidmatannya menyaksikan kenaikan 13 peratus dalam pendapatan atau kepada RM158.57 juta, ini terkait dengan peningkatan jumlah kenderaan komersil yang menjalani pemeriksaan dalam segmen perniagaan pemeriksaan kenderaan.

Manakala, pendapatan daripada bahagian automotif menokok sebanyak 4.6 peratus kepada RM8.84 bilion berbanding RM8.46 bilion sebelumnya disebabkan oleh jumlah jualan yang lebih tinggi daripada PROTON berikutan lonjakan campuran jualan dan sumbangan daripada syarikat pengedaran automotif.

Bagaimanapun, DRB-HICOM mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM15.19 juta untuk suku ketiga yang berakhir pada 30 September 2025 berbanding kerugian bersih berjumlah RM5.29 juta pada suku yang sama tahun lepas.

Sebaliknya, pendapatan menokok 8.6 peratus kepada RM4.49 bilion daripada RM4.13 bilion, didorong oleh segmen automotif, hartanah, perbankan dan perkhidmatan.

Menurut kumpulan itu, kerugian bersihnya adalah disebabkan kerugian atas pelupusan sekuriti pelaburan, yang berjumlah RM22.31 juta pada suku semasa berbanding dengan kerugian sebanyak RM4.66 juta sebelum ini.

"Sektor perbankan mencapai pendapatan yang lebih baik disebabkan kenaikan dalam pendapatan pembiayaan. Ini telah didorong oleh pertumbuhan dalam jumlah pembiayaan yang menerima sokongan daripada pertumbuhan yang mampan serta asas pelanggan yang semakin meningkat," katanya

Sementara itu, sektor hartanah mencatatkan peningkatan pendapatan yang disumbangkan daripada projek pembangunan konsesi hartanah.

Kumpulan itu ketika mengulas mengenai prospek berkata ia komited untuk perjalanan digitalisasinya, mengoptimumkan operasi dan mengukuhkan kecekapan di semua segmen. 

 "Pengambilalihan Aerosystem Spirit Malaysia Sdn Bhd akan terus mengukuhkan kepakaran teras Composite Technology Research Malaysia dalam rantaian bekalan global. 

"Di samping itu, cadangan pengambilalihan tersebut, yang disasarkan selesai menjelang penghujung tahun ini, dijangka akan mempercepatkan pertumbuhan serta memacu penciptaan nilai yang lebih tinggi dan mengukuhkan keupayaan Malaysia dalam industri aeroangkasa global," katanya lagi.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan