AM > BERITA

Proses Bantuan Kebajikan, Pelancongan RV Antara Tumpuan Dewan Rakyat Hari Ini

26/11/2025 09:09 AM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Proses penyaluran bantuan kebajikan kepada kanak-kanak dan warga emas serta usaha meningkatkan pelancongan berasaskan kenderaan rekreasi (RV) antara dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Cha Kee Chin (PH-Rasah) meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan langkah-langkah bagi memastikan bantuan kebajikan seperti Bantuan Kanak-Kanak (BKK), Elaun OKU (Orang Kurang Upaya) dan Bantuan Warga Emas disalurkan tepat pada waktu.

Beliau juga ingin mengetahui program khusus bagi membantu ibu tunggal dan keluarga miskin bandar khususnya di Parlimen Rasah pada sesi soal jawab.

Pada sesi sama, Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) mengajukan soalan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengenai usaha kerajaan dalam mempertingkatkan industri pelancongan berasaskan RV termasuk penyediaan taman RV kenderaan pelancongan untuk menampung pelancong domestik dan antarabangsa.

Kalam juga ingin tahu sama ada kerajaan akan mempertimbangkan cadangan menjadikan Sabak Bernam sebagai lokasi perintis pembangunan taman berkenaan.

Turut tersenarai, soalan R. Yuneswaran (PH-Segamat) kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri mengenai strategi memastikan syarikat dan industri yang berpangkalan di Malaysia boleh menggunakan cip kecerdasan buatan (AI) yang berasal dari Amerika Syarikat dan China.

Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) pula meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan penambahbaikan dalam kawalan pemeriksaan kastam terhadap bagasi di semua lapangan terbang antarabangsa atau domestik bagi memastikan kecekapan pegawai pemeriksa supaya isu penyeludupan dapat ditangkis dengan rapi.

Persidangan Dewan Rakyat kemudian diteruskan dengan menyambung semula perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa bagi beberapa kementerian.

Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15 Dewan Rakyat berlangsung selama 35 hari hingga 4 Dis ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan