AM > BERITA

Guru KEMAS Terima Latihan Intensif, Bersiap Untuk Pelaksanaan Tabika Tunas Istimewa 2026

26/11/2025 02:59 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Guru-guru Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) KEMAS kini menerima latihan intensif bagi mengendalikan kanak-kanak berkeperluan khas sebagai persediaan pelaksanaan Tabika Tunas Istimewa @ KEMAS yang dijadual bermula tahun depan.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah  Datuk Rubiah Wang, berkata latihan khas itu diberikan kepada guru-guru sedia ada di KEMAS berdasarkan model yang digunakan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

“Bagi tahun 2026, kita memanfaatkan sumber sedia ada dengan menyediakan latihan intensif kepada guru-guru KEMAS, termasuk penempatan sementara di kelas khas KPM.

“Ini bagi membolehkan mereka melihat sendiri pelaksanaan pengajaran, merasai pengalaman sebenar serta mengasah kreativiti dalam mengendalikan kelas untuk kanak-kanak berkeperluan khas,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Zahari Kechik (Jeli) mengenai tahap kesiapsiagaan kerajaan untuk melaksanakan program itu, termasuk pelaksanaannya di setiap negeri sebelum diperluas ke setiap daerah pada tahun berikutnya.

Rubiah berkata sebanyak 14 Tabika Tunas Istimewa @ KEMAS yang memberi tumpuan kepada kanak-kanak berkeperluan khas, khususnya dalam spektrum autisme akan dibuka di setiap negeri mulai tahun depan.

Beliau berkata pemilihan guru bagi tabika khas tersebut akan dibuat secara teliti dengan mengambil kira beberapa kriteria termasuk personaliti penyayang, minat mendalam terhadap kanak-kanak, serta kemampuan mengendalikan murid berkeperluan khas.

Sebagai langkah jangka panjang, beliau berkata mulai 2027, pengambilan baharu pendidik akan memberi keutamaan kepada calon yang memiliki Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Diploma Pendidikan Khas atau pengalaman dan minat dalam mengendalikan kanak-kanak berkeperluan khas.

Dari aspek infrastruktur tabika khas itu, Rubiah berkata kerajaan akan menggunakan bangunan sedia ada tanpa melibatkan peruntukan tambahan kerajaan dengan kos keseluruhan yang diperuntukkan bagi projek rintis pada tahun ini sebanyak RM457,696 yang meliputi kerja baik pulih bangunan, pembelian peralatan, pembangunan modul, latihan guru serta Bantuan Makanan Tambahan (BMT).

“Fokus kami adalah menyediakan fasiliti terlebih dahulu. Bagi tahun depan, kos dianggarkan sekitar RM5 juta, merangkumi kerja baik pulih bangunan, pembelian peralatan, latihan guru, BMT, pemberian Geran Per Kapita (GPK), elaun kanak-kanak, serta bayaran elaun kepada Pendidik Masyarakat (PM).

“Selain itu, peruntukan berkenaan juga merangkumi bayaran elaun kepada Pembantu Pendidik Masyarakat (PPM) dan PPM Sukarela (PPMS) bagi 14 Tabika Tunas Istimewa @ KEMAS, iaitu satu di setiap negeri,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan