AM > BERITA

1,031 Pegawai, Anggota Polis Sarawak Ditugaskan Untuk PRN Sabah

26/11/2025 10:38 AM

KUCHING, 26 Nov (Bernama) -- Sebanyak kira-kira 1,031 pegawai dan anggota polis Sarawak akan digerakkan ke Sabah bagi membantu kelancaran Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 yang dijadual berlangsung pada Jumaat ini.

Ketua Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata kira-kira 200  anggota berkenaan sudah pun berada di Sabah manakala selebihnya dijadualkan berlepas esok menggunakan penerbangan komersial. 

Beliau berkata langkah itu penting untuk memastikan perjalanan proses pilihan raya berjalan lancar, teratur dan selamat.

“Kita komited memastikan segala persiapan berada pada tahap terbaik dan pasukan juga sudah bersedia untuk membantu dari segi kawalan keselamatan dan pergerakan orang ramai,” katanya kepada pemberita pada Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak di sini hari ini.

PRN Sabah dijangka melibatkan pelbagai agensi bagi memastikan operasi logistik, keselamatan, dan pengurusan pusat mengundi dapat dijalankan dengan efisien.

Pilihan raya negeri kali ini menyaksikan 596 calon bertanding untuk merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). 

Tempoh berkempen bermula dari 15 Nov lepas akan berakhir pada 11.59 malam Jumaat ini. Pengundian awal diadakan semalam manakala hari mengundi pada Sabtu ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan