AM > BERITA

Malaysia Tidak Akan Berjaya Jika Terus Main Sentimen Negeri, Daerah - PM Anwar

26/11/2025 11:31 PM

SANDAKAN, 26 Nov (Bernama) -- Negara tidak akan berjaya sekiranya kerajaan yang dibentuk terus memainkan sentimen kenegerian dan daerah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri yang bakal dibentuk di Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 perlu menjalin hubungan yang baik dengan kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) akan memberikan sokongan untuk memastikannya.

“Main sentimen negeri, main sentimen daerah, kita tidak akan berjaya.

“Saya tahu, ini musim berkempen pilihan raya tetapi kita kena ingat di sebalik semua itu, kita perlu memikirkan perkara yang dipertaruhkan untuk masa depan,” kata beliau semasa berucap pada Majlis Ramah Mesra dan Makan Malam Bersama Masyarakat Cina di sini malam ini.

Anwar meletakkan harapan agar calon PH di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Elopura Vivian Wong Shir Yee, DUN Tanjong Papat Tang Szu Ching dan DUN Karamunting Datuk George Hiew Vun Zin boleh memperoleh majoriti mudah pada PRN Sabah ke-17.

Perdana Menteri juga berkata Kerajaan Persekutuan akan membuat penyelarasan serta penambahbaikan terhadap pelaksanaan e-Invois serta cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bagi memudahkan syarikat kecil.

Beliau berkata pengenalan e-Invois itu memang baik namun dari segi pelaksanaan adakalanya memberikan masalah kepada syarikat-syarikat kecil.

“Saya dengar permasalah itu dan sedia membuat penyelarasan namun saya tidak boleh umumkan sekarang kerana ini masa kempen.

“Saya nak beritahu juga kami (kerajaan Persekutuan) dengar, kami akan buat penyelarasan baik dari segi pelaksanaan e-Invois mahupun pelaksanaan SST,” kata beliau.

Terdahulu, Perdana Menteri menghadiri sesi santai di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Karamunting bersama Hiew.

Ketibaan beliau disambut meriah dengan pukulan kompang daripada Kumpulan Al-Falah Kampung Karamunting dan turut beramah mesra kira-kira 30 minit bersama masyarakat di kawasan berkenaan.

Anwar juga dijadual menghadiri Ceramah Perdana PMX Sayang Sabah bagi DUN Merotai yang akan berlangsung di Dewan Terbuka Serbaguna Merotai, Tawau malam ini.

Sementara itu, menerusi catatan di Facebook, Perdana Menteri menuntut belia Sabah untuk cemerlang dalam bidang yang mereka ceburi serta menjadi pemangkin kepada kemajuan negeri dan negara.

Beliau juga menegaskan kesinambungan kemajuan dan sinergi padu itu perlu diterjemahkan melalui pemilihan kepimpinan yang tepat khususnya sewaktu hari pengundian PRN Sabtu ini. 

“Saya turut mengingatkan hadirin bahawa Kerajaan Persekutuan menyalurkan sekitar RM17 bilion kepada Sabah setiap tahun berbanding kutipan hasil negeri sebanyak RM10 bilion dan bukannya mengaut hasil atau khazanah negeri seperti didakwa sesetengah pihak,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata tindakan kerajaan itu merupakan bukti jelas usaha kerajaan Pusat untuk memastikan Sabah dipacu secara menyeluruh dan berterusan selain memastikan belia serta rakyat Sabah tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.

Hari pengundian PRN Sabah ke-17 yang mempertandingkan 73 kerusi DUN berlangsung Sabtu ini dan untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php

Sementara itu, Perdana Menteri pada Majlis Ramah Mesra dan Makan Malam bersama Masyarakat Cina itu turut menyatakan Kerajaan Perpaduan pimpinan beliau telah menunjukkan komitmen untuk melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), bukannya parti pembangkang.

Beliau berkata antara perkara yang telah ditunaikan oleh Kerajaan Perpaduan ialah pengembalian kuasa kawal selia bekalan elektrik kepada kerajaan Sabah dan menyelesaikan pelbagai masalah infrastruktur di negeri itu.

“Siapa yang membantu mengembalikan kuasa kawal selia itu? Kerajaan Pakatan Harapan… Kerajaan Perpaduan, bukan pembangkang. Bukan parti-parti negeri yang main sentimen negeri,” kata beliau. 

Anwar berkata berkata komitmen kerajaan untuk melaksanakan MA63 itu juga disebabkan wujudnya kerjasama yang baik sedia terjalin antara kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata Kerajaan Perpaduan sentiasa memberi sokongan dan dukungan untuk membantu menyelesaikan masalah berkaitan pembangunan dan infrastruktur di Sabah.

Hal itu, kata Perdana Menteri termasuk komitmen dalam memastikan projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo siap mengikut jadual ditetapkan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan