AM > BERITA

KPDN Johor Kesan 2,113 Kes Kesalahan Peniaga, Nilai Kompaun Lebih Setengah Juta

26/11/2025 01:49 PM

JOHOR BAHRU, 26 Nov (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM676,250 kepada peniaga yang didapati melakukan pelbagai kesalahan setakat 24 Nov lepas.

Pengarah KPDN Johor Lilis Saslinda Pornomo berkata ia membabitkan sebanyak 1,671 kes yang direkodkan sejak awal tahun ini di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan 442 kes di bawah Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972.

"Mengikut pecahan, kompaun bagi AKHAP adalah sebanyak RM561,050 dan RM115,200 untuk kes ATS," katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Pasar Patuh (3P) Peringkat Negeri di Pasar Awam Taman Perling di sini hari ini.

Beliau berkata tindakan yang dikenakan melibatkan kesalahan tidak mempamerkan tanda harga dan tidak menggunakan alat timbang sukat yang telah ditentusahkan bagi tujuan perniagaan.

Lilis Saslinda juga berkata data itu menunjukkan komitmen berterusan pihaknya dalam memantau dan memastikan kepatuhan peniaga di seluruh negeri.

Justeru, beliau menasihati para peniaga agar sentiasa mematuhi undang-undang yang bukan sahaja suatu kewajipan tetapi juga pelaburan jangka panjang dalam membina kepercayaan pengguna terhadap mereka.

Ketika ditanya mengenai langkah untuk memastikan bekalan makanan di Johor mencukupi sepanjang musim monsun timur laut (MTL), Lilis Saslinda berkata libat urus bersama pelbagai pihak termasuk pembekal sentiasa dilakukan bagi tujuan tersebut.

Beliau berkata baru-baru ini, kementerian juga telah mengarahkan pembekal supaya menyimpan sebanyak 30 peratus bekalan makanan sebagai persediaan menghadapi MTL. 

"Kita sentiasa memastikan barangan keperluan dan barang kawalan tidak terputus bekalan... justeru, orang ramai juga dinasihati untuk menyalurkan maklumat sekiranya terdapat kekurangan bekalan di kawasan mereka ketika monsun," katanya.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan