AM > BERITA

Peniaga Tamu Donggongon Nantikan Naik Taraf, Pasar Tradisi Kembali Hidup

21/11/2025 12:05 PM

Oleh Muhammad Saufee Rosman

PENAMPANG, 21 Nov (Bernama) -- Tamu Donggongon di Pekan Donggongon terus menjadi tumpuan pengunjung dengan menawarkan pelbagai barangan bermutu, merangkumi hasil pertanian segar, produk kraftangan tradisional serta makanan tempatan yang menggoda selera termasuk yang bersifat eksotik.

Keunikan tamu yang antara tertua di Sabah itu terletak pada kesegaran produk yang dijual, kebanyakannya merupakan hasil tanaman dan ternakan sendiri oleh peniaga yang beroperasi dari Rabu hingga Jumaat setiap minggu.

Di sebalik keistimewaan tersebut, tersimpan harapan dalam kalangan peniaga agar projek menaik taraf Tamu Donggongon yang sedang dilaksanakan dengan peruntukan RM8.5 juta dapat dipercepatkan demi memastikan kelangsungan pendapatan mereka.

Kebanyakan peniaga yang ditemui Bernama memahami bahawa mereka perlu beroperasi di tapak sementara di kawasan Tugu Peringatan Datuk Peter Mojuntin sejak November 2024, namun lokasi itu tidak mampu menarik jumlah pengunjung setanding tapak asal yang lebih strategik, terbuka dan mudah diakses.

Sehubungan itu, para peniaga di Tamu Donggongon yang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog menyuarakan harapan agar wakil rakyat yang bakal dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dapat memainkan peranan mempercepatkan projek berkenaan.

Seorang peniaga tanaman segar, Lee Kien Ming, 43, yang telah lebih 20 tahun mencari rezeki di tamu berkenaan berkata, ‘kepulangan’ peniaga ke tapak asal akan membantu mereka mendapatkan semula kestabilan pendapatan harian.

“Kalau tapak asal dibuka semula, orang datang lebih ramai. Ini tempat kami cari makan dari dulu lagi. Bila pelanggan kurang, pendapatan pun turun. Jadi, lagi cepat siap projek naik taraf Tamu Donggongon, lagi baik untuk semua,” katanya.

Lee turut berharap wakil rakyat yang akan dipilih kelak memberi perhatian terhadap penambahbaikan akses jalan dan kemudahan sekitar supaya pergerakan pengunjung menjadi lebih lancar apabila pasar itu kembali beroperasi.

Sependapat dengannya, peniaga ikan bilis dan ikan kering, Nur Aleyeea Radsman, 45, berkata walaupun tapak sementara tetap dikunjungi orang ramai, suasananya tidak dapat menandingi lokasi asal Tamu Donggongon yang lebih ‘hidup’ dan menarik lebih ramai pelanggan.

“Bukan saya sahaja yang mahu tamu asal itu dibuka semula, tetapi semua peniaga. Di sini memang ada orang datang, tetapi tidak seramai di tapak asal,” katanya yang telah berniaga di Tamu Donggongon sejak 17 tahun lalu.

Bagi Syarifah Nurjannah Timol, 18, yang membantu perniagaan buah-buahan dan sayur-sayuran keluarganya, projek menaik taraf tapak asal Tamu Donggongon yang disiapkan segera akan memudahkan operasi perniagaan serta membantu meningkatkan jualan.

“Sekarang ini ramai pelanggan tidak tahu lokasi sementara ini, sebab itu kadang-kadang kurang orang,” kata pelajar diploma Teknologi Maklumat di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu.

Projek menaik taraf Tamu Donggongon melibatkan kawasan seluas 2.54 hektar dan dijangka siap tahun depan, selepas tertangguh sejak 2018. Apabila siap, ia akan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk 550 lot pasar kering, 36 lot pasar basah, pondok polis, tandas awam, tempat letak kereta dan pejabat pengurusan tamu.

Pekan Donggongon yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Bandaraya Kota Kinabalu bukan sahaja menjadi pusat pentadbiran daerah Penampang, malah turut berfungsi sebagai pusat budaya masyarakat Kadazandusun, salah satu kumpulan etnik terbesar di Sabah.

Moyog mempunyai 31,084 pemilih berdaftar pada PRN ke-17 dan merupakan salah satu daripada DUN dalam Parlimen Penampang selain Kapayan.

Mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 1,784,843 pengundi layak mengundi pada PRN kali ini terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera dan pasangan serta 12,729 anggota polis dan pasangan.

Untuk berita terkini PRN Sabah ke-17, layari portal khas Bernama di prn.bernama.com/sabah.

 

N26: MOYOG: SABAH: 31,084

1. Peter Maurice Lidadun    (Bebas)

2. Cleftus Stephen Spine    (PIS)

3. Datuk Donald Peter Mojuntin    (UPKO)

4. Francis Mojikon    (PN-Bersatu)

5. Richard Ronald Dompok    (PKS)

6. Ricky Chang Onn Pin @ Ricky Richard    (Bebas/IND)

7. Walter Norbert Johnny    (PBK)

8. Joeynodd Aiiko Ronald C Bansin    (GRS-PBS)

9. Mckery Victor Ninin    (KDM)

10. Joseph Suleiman    (STAR)

11. Terrence Siambun    (Warisan)

12. Remysta Jimmy Taylor    (PH-PKR)

 

(2020: Datuk Ignatius Darell Leiking: Warisan Plus-Warisan: Majoriti: 5,935)

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan