KUANTAN, 26 Nov (Bernama) -- Seorang lelaki didenda RM15,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki hasil hutan jenis gaharu tanpa membayar royalti, premium, dan cukai khas yg dikenakan bagi maksud tertentu atau ses.
Hanafi Rafae, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sazlina Safie.
Lelaki itu didakwa memiliki kira-kira 5.75 kilogram kayu gaharu di sebuah rumah di Taman Chendor Darat 1, pada 13 Okt lepas, tanpa membuat sebarang bayaran royalti, premium atau ses kepada kerajaan negeri.
Pertuduhan mengikut Seksyen 84(1) Akta Perhutanan Negara 1984 yang diterima pakai oleh negeri Pahang di bawah Enakmen Perhutanan Negara (Negeri-negeri Malaysia) (Pemakaian) 1986, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 84 (4) enakmen sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan fakta kes, sepasukan renjer hutan menjalankan pemeriksaan di rumah berkenaan pada kira-kira 9 pagi, 13 Okt lepas dan menemukan tiga lelaki warga Kemboja yang sedang membersihkan kayu gaharu, serta isteri tertuduh.
Ketiga-tiga warga asing itu ditahan selepas didapati mengendalikan hasil hutan tersebut dan memaklumkan bahawa mereka melakukan kerja itu atas arahan Hanafi, yang merupakan pemilik kayu berkenaan.
Tertuduh juga dipercayai berniat menjual kayu gaharu yang telah dibersihkan.
Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia Muhammad Shahrezal Mohd Shukri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat, selain memohon barang kes dilucut hak kepada Kerajaan Negeri Pahang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial