AM > BERITA

‘Pengurus Wardrobe’ Tulang Belakang Di Sebalik Majlis Konvokesyen

26/11/2025 04:00 PM

Oleh Hasnah Jusid

JOHOR BAHRU, 26 Nov (Bernama) -- Setiap kali menjelang musim konvokesyen, set jubah menjadi satu ‘busana’ paling penting untuk disarung graduan sebelum mereka melangkah penuh bangga di atas pentas konvokesyen, berbeza warna mengikut universiti.

Namun, di sebalik segaknya setiap graduan pada hari bersejarah itu, ada pasukan kecil yang bertindak umpama ‘pengurus wardrobe’, menguruskan pengambilan dan pemulangan jubah serta memastikan setiap jubah, mortarboard (topi mortabod) dan etika pemakaian berada dalam keadaan sempurna.

Ketua Jawatankuasa Kecil Pengurusan Jubah Graduan bagi Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-69 Muhammad Hasyiq Hamdan berkata pasukannya tidak menang tangan sejak 10 Nov lepas apabila perlu mengendalikan hampir 6,000 jubah sepanjang tempoh pengambilan dan pemulangan yang berlangsung selama 15 hari hingga semalam.

Terdiri daripada 50 petugas terdiri daripada petugas akademik dan pentadbiran, jawatankuasa itu antara kumpulan yang bertugas paling lama untuk istiadat tersebut kerana operasi mereka bermula seminggu sebelum konvokesyen dan hanya berakhir seminggu selepas majlis terakhir.

Beliau berkata jubah konvokesyen UTM kini dilengkapi teknologi pengesanan menggunakan Radio Frequency Identification (RFID) bagi memastikan setiap set jubah dipadankan tepat dengan graduan sekali gus mengelakkan pertukaran atau ralat.

Beliau berkata proses pengambilan jubah pada tahun ini dijalankan secara lebih sistematik melalui penggunaan Sistem Pengurusan Giliran (QMS), diikuti pengesahan maklumat graduan menerusi imbasan kod QR pada aplikasi i-Convo.

“Apabila graduan mengimbas kod QR itu, sistem kami akan memaparkan maklumat lengkap termasuk saiz, fakulti dan tahap pengajian sama ada PhD, sarjana atau ijazah, memandangkan setiap kategori mempunyai rekaan jubah yang berbeza,” katanya. 

Berdasarkan maklumat itu, pasukan runner di belakang kaunter akan mencari jubah yang tepat mengikut saiz, label warna fakulti dan mortarboard sebelum diserahkan kepada petugas kaunter untuk proses imbasan RFID.

“Jika padanan maklumat tepat, sistem akan mengunci jubah itu kepada nama graduan berkenaan. Jadi ia tidak boleh ditukar atau diserahkan kepada individu lain. Itulah fungsi RFID,” katanya.

Namun, proses itu tidak terlepas daripada cabaran, termasuk situasi maklumat dalam RFID tidak sepadan dengan saiz sebenar jubah dan pihaknya perlu memformat semula data berkenaan satu per satu.

“Cabaran lain ialah permintaan tukar saiz. Kebanyakan graduan muda mahukan jubah potongan lebih ‘fit’, tetapi kita terpaksa jelaskan bahawa jubah mesti bawah paras lutut, itu peraturan. Kadang-kadang kena pujuk dan terangkan berkali-kali,” katanya.

Selain menguruskan jubah, pasukannya juga bertanggungjawab memastikan graduan mematuhi etika pemakaian sebelum memasuki dewan dengan turut menyediakan perkhidmatan sewaan blazer, tali leher, stokin, skirt labuh dan pakaian lain untuk membantu graduan yang tidak lengkap berpakaian.

“Kami sudah bersiap sedia sejak 6.30 pagi di lokasi berhampiran dewan. Jika ada graduan ditahan kerana tidak mematuhi etika pemakaian, mereka akan diarahkan ke kaunter kami untuk melengkapkan pakaian. Kalau lelaki datang tanpa tali leher atau blazer, di sinilah mereka dapat sewa,” katanya.

Beliau berkata pasukan yang berada di laluan masuk graduan pula melakukan semakan terakhir sebelum mereka melangkah ke pentas bagi memastikan jubah, mortarboard dan label fakulti dipakai dengan betul supaya kelancaran majlis tidak terjejas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan