AM > BERITA

CIJ Kecam Serangan Ke Atas Wartawan Sukan, Gesa Polis Siasatan Segera

26/11/2025 06:21 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) mengecam tindakan menyerang wartawan sukan Haresh Deol semalam dan menggesa polis menjalankan siasatan segera serta telus berhubung kejadian berkenaan.

Pengarah Eksekutif CIJ Wathshlah G. Naidu berkata serangan terhadap Timbalan Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) yang dilaporkan berlaku di Bangsar itu menimbulkan persoalan sama ada ia adalah serangan terancang berdasarkan tugas beliau sebagai wartawan.

“Semua pengamal media mesti diberi layanan penuh hormat dan dilindungi daripada sebarang ancaman yang boleh mendatangkan mudarat kepada diri dan orang di sekeliling supaya mereka dapat menyampaikan maklumat mengenai isu berkepentingan awam dengan berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wathshlah berkata CIJ berdiri teguh di belakang Haresh, siasatan segera dan menyeluruh, serta tindakan terhadap pelaku penting untuk meningkatkan keyakinan wartawan dalam melaksanakan tugas mereka.

Terdahulu, Haresh, pengasas bersama portal berita TwentyTwo13 memaklumkan melalui hantaran di laman X bahawa beliau diserang dua lelaki ketika menuju ke keretanya, manakala seorang lagi individu merakam insiden itu menggunakan telefon bimbit.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Hoo Chang Hook, dalam kenyataan semalam memaklumkan polis sedang mengesan tiga lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian yang berlaku di Jalan Maarof berhampiran parkir sebuah pusat beli-belah, ketika Haresh sedang berjalan di kaki lima menuju ke Jalan Telawi.

Sementara itu, Persatuan Perhubungan Awam dan Komunikasi (PRCA) Malaysia turut mengecam serangan berkenaan, sambil menyifatkannya sebagai serangan serius terhadap kebebasan media dan hak orang awam untuk mendapatkan maklumat.

PRCA Malaysia dalam kenyataan memaklumkan kejadian itu bukan sekadar perbuatan pengecut tetapi satu ancaman terus kepada hak masyarakat untuk mendapatkan maklumat yang benar dan bebas.

Persatuan itu turut menyuarakan sokongan penuh terhadap gesaan Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) supaya siasatan dijalankan tanpa rasa takut atau kompromi.

“Kami berdiri teguh bersama Haresh, bersama NPC dan bersama semua wartawan yang tetap menjalankan tugas meskipun terdedah kepada risiko yang tidak sepatutnya wujud.

“Media bukan sasaran mudah, ia adalah sebuah institusi demokrasi yang wajar mendapat perlindungan sama pentingnya dengan badan kehakiman, pasukan keselamatan dan institusi berperlembagaan lain,” menurut kenyataan itu.

PRCA Malaysia turut menggesa pihak berkuasa bertindak segera, telus dan tegas.

“Isyaratnya mesti jelas. Mana-mana pihak yang mengugut, mencederakan atau cuba menutup suara wartawan akan berdepan tindakan undang-undang tanpa kompromi,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan