AM > BERITA

Pelaksanaan eKYC Bagi Akaun Media Sosial Disasar Dikuat Kuasa Suku Kedua 2026 - Fahmi

26/11/2025 04:11 PM

KOTA MARUDU, 26 Nov (Bernama) -- Kerajaan menyasarkan setiap platform media sosial melaksanakan pengesahan identiti pengguna secara digital (eKYC) menjelang akhir suku kedua 2026, bagi menguatkuasakan had umur minimum 16 tahun untuk pembukaan akaun.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah diminta mengadakan sesi libat urus dengan semua platform media sosial dan memberikan tempoh munasabah untuk melaksanakan langkah itu.

“Tempoh munasabah ini mengambil kira apa yang telah berjaya dilaksanakan di negara lain, termasuk Australia dan sekiranya platform boleh memanfaatkan mekanisme yang serupa ataupun hampir serupa, maka itu mungkin memudah ataupun mempercepat proses pelaksanaan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas program Hari Bersama Komuniti di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Simpang Tiga Langkon di sini hari ini.

Fahmi berkata mekanisme itu antaranya melihat kepada cara pembekuan akaun untuk kes kanak-kanak yang masih berusia bawah 16 tahun serta pengaksesan semula kepada akaun setelah mereka cukup umur.

Selain itu, pelaksanaan eKYC juga akan melibatkan penggunaan dokumen pengenalan diri seperti pasport, MyKad dan MyDigital ID untuk tujuan pengesahan identiti pengguna media sosial.

“Hal ini penting kerana selain daripada memastikan kanak-kanak bawah usia 16 tahun tidak mengguna platform-platform media sosial, kita juga berhasrat untuk membanteras kegiatan scammer (penipuan) dan judi dalam talian. 

“Banyak scammer dan judi dalam talian menggunakan akaun palsu. Jadi, kita berhasrat untuk mengenakan proses e-KYC ini, Electronic Know Your Customer untuk membuat pengesahan identiti,” katanya.

Menyentuh berkenaan NADI, beliau berkata kerajaan bercadang untuk menambah sebuah lagi pusat berkenaan di Sabah dengan beberapa lokasi sesuai sedang dikenal pasti mengambil kira faktor lokasi, muka bentuk bumi serta populasi penduduk.

Fahmi berkata setakat ini terdapat 131 NADI di seluruh Sabah, iaitu jumlah kedua tertinggi di seluruh negara selepas Sarawak.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan