KLANG, 26 Nov (Bernama) -- Kampung Sungai Udang di sini dipilih sebagai kampung angkat Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di bawah Program Kampung Angkat MADANI melibatkan peruntukan RM1.68 juta untuk menaik taraf kemudahan asas serta penganjuran program kesejahteraan komuniti.
Ketua Setiausaha MOSTI Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata pemilihan kampung itu bukti komitmen kementerian memperkasakan komuniti melalui sains, teknologi dan inovasi supaya tiada yang tercicir, khususnya mereka di kawasan kampung serta pinggir bandar.
Beliau berkata menerusi inisiatif Kampung Angkat MADANI, MOSTI diberikan peruntukan RM1 juta oleh Kementerian Kewangan namun setelah meneliti keperluan mendesak di lapangan, pihaknya menyediakan RM680,000 sebagai peruntukan tambahan.
“Langkah ini untuk memastikan kemudahan yang dirancang benar-benar memberi impak, meningkatkan kesejahteraan komuniti dan menyediakan ruang aktiviti lebih selesa, selamat dan inklusif untuk semua lapisan penduduk.
“Pendekatan ini selari dengan hasrat kerajaan MADANI memastikan tiada komuniti tercicir dan setiap kampung mampu berkembang secara mampan melalui peningkatan kemudahan asas, kesejahteraan sosial dan peluang ekonomi yang holistik,” katanya ketika peluncuran program itu di Balai Raya Teluk Pulai di sini hari ini.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran Leong Tuck Chee, Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) Mohd Zary Affendi Mohd Arif dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) merangkap Ketua Kampung Sungai Udang Zaki Jamil.
Hasnol Zam Zam berkata antara penambahbaikan dilakukan ialah baik pulih dewan terbuka dan Balai Raya Rumah Murah Sungai Udang, penurapan semula jalan, pembinaan ruang aktiviti berbumbung, kerja naik taraf surau dan kemudahan awam di beberapa lokasi.
Beliau berkata MBDK dan JPKK Sungai Udang turut melaksanakan projek fizikal seperti pembinaan mercu tanda Kampung Sungai Udang dan gelanggang serbaguna berbumbung di Amazing Height, penganjuran program komuniti seperti Subuh Sekampung, gotong-royong MADANI dan program lain.
Selain itu, turut dilakukan ialah pemasangan lampu solar di lima lokasi strategik dan kerja membaik pulih longkang serta infrastruktur di Jalan Sungai Udang untuk mengurangkan risiko banjir kilat.
“MOSTI komited memastikan Program Kampung Angkat MADANI bukan sekadar menaik taraf infrastruktur asas tetapi membawa pendekatan pembangunan komuniti yang inklusif dan progresif melalui manfaat sains, teknologi dan inovasi kepada kamuniti,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial