KOTA KINABALU, 26 Nov (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) terus memperkukuh komitmen dalam memastikan komuniti luar bandar khususnya di Sabah tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.
KKDW memaklumkan usaha pemerkasaan ekonomi desa dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif bersepadu yang memberi tumpuan kepada peningkatan pendapatan, pengukuhan kapasiti usahawan serta pembangunan ekosistem ekonomi setempat.
“Bagi tempoh 2024 dan 2025 pelaksanaan program ekonomi luar bandar di Sabah menunjukkan impak ketara kepada usahawan kecil, perusahaan mikro serta komuniti kampung antaranya Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK).
“Melalui PROSPEK, sebanyak tujuh projek bernilai RM8.9 juta telah dilaksanakan hingga 2025, membuka peluang kepada komuniti untuk menjana pendapatan melalui aktiviti produktif berasaskan kampung,” menurut KKDW dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, Program Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) pada tahun ini turut memanfaatkan lebih 31 peserta di Sabah, menyediakan ruang kepada mereka untuk membangunkan produk dan perkhidmatan bagi tujuan pemasaran lebih meluas.
Menurut KKDW, Majlis Amanah Rakyat (MARA) juga melaksanakan kerja naik taraf premis perniagaan melibatkan 21 lot pada tahun lepas dengan kos RM0.2 juta, manakala RM2.18 juta diperuntukkan pada tahun ini bagi penambahbaikan dua Arked MARA di Sandakan membabitkan 39 lot premis bagi memastikan persekitaran perniagaan yang lebih selamat, cekap dan kompetitif.
Pada masa sama, Program Sentuhan Kasih Desa mencatatkan pencapaian signifikan apabila lebih 252 usahawan Sabah berjaya diupayakan dalam tempoh dua tahun, dengan nilai jualan mencecah RM3.898 juta.
Seiring tuntutan transformasi digital, KKDW turut melaksanakan Program Pendigitalan Usahawan Desa (PPU) untuk memperkukuh strategi pemasaran melalui platform e-dagang dengan 201 usahawan di Sabah menerima manfaat pada tahun ini melibatkan peruntukan RM333,458.
“Keberhasilan pelaksanaan semua inisiatif ini membuktikan komitmen KKDW dalam memperkukuh ekonomi luar bandar melalui pendekatan inklusif dan berimpak tinggi.
“Peningkatan pendapatan dan pengupayaan usahawan desa bukan sahaja memberi manfaat kepada individu, malah menjadi pemangkin kepada transformasi sosioekonomi masyarakat secara keseluruhan,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial