PASIR MAS, 26 Nov (Bernama) -- Musim tengkujuh yang melanda Kelantan ketika ini seakan membawa rezeki kepada penduduk setempat apabila ikan darat menjadi rebutan setelah bekalan yang dijual habis dalam tempoh tiga jam.
Peniaga ikan darat Rosli Rifin, 56, berkata fenomena itu bukan sahaja meningkatkan permintaan dalam kalangan penggemar, malah memberi peluang kepada penduduk menjana pendapatan sampingan ketika musim bah.
“Pada hari biasa saya bekerja sebagai pesawah tetapi disebabkan musim tengkujuh saya tidak dapat meneruskan kerja itu. Menjual ikan darat sekurang-kurangnya membantu saya menyara keluarga.
“Sejak dua hari lepas, saya mendapatkan bekalan daripada kira-kira enam pembekal yang membekalkan pelbagai jenis ikan darat seperti puyu, keli, lampam, toman galang serta baung dan patin,” katanya kepada Bernama di Rantau Panjang di sini hari ini.
Bapa lima anak itu berkata pada awal musim tengkujuh, hasil ikan darat lazimnya lebih lumayan hingga beliau mampu memperoleh lebih 60 kilogram bekalan sehari daripada pembekal.
Rosli berkata ikan-ikan itu digantung menggunakan tali bagi menarik perhatian pengguna yang melalui kawasan berkenaan manakala harga jualan bermula RM10 hingga RM30 sekilogram mengikut jenis.
“Kebiasaannya ikan toman galang menjadi kegilaan penggemar sehingga digelar ‘raja ikan darat’ kerana dagingnya padat dan enak untuk dimasak dalam pelbagai hidangan,” katanya.
Seorang lagi peniaga, Nazita Ahmed, 53, berkata beliau memperoleh bekalan sehingga 400 kilogram hampir setiap hari daripada kira-kira 70 pembekal di sekitar Pasir Mas dan Rantau Panjang.
Nazita, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, sudah 10 tahun berniaga ikan darat sebagai pendapatan sampingan, terutama dari November hingga Januari apabila paras air sungai meningkat.
“Kebiasaannya, pembekal menghantar bekalan seawal 7 pagi ke rumah saya di Kampung Serongga atau terus ke gerai,” katanya.
Beliau berkata kebanyakan ikan diperoleh ialah baung dan lampam, yang dijual pada harga antara RM10 sehingga RM90 sekilogram, bergantung kepada jenis. Pendapatannya kini mencecah empat angka sebulan.
Bapa kepada lapan anak itu turut dibantu isterinya Siti Nor Hanafi, 50, dan anak sulung Mohd Firdaus, 29, bagi menyiang serta memotong ikan untuk memudahkan pelanggan.
Sementara itu, pembekal ikan darat Mohd Faizol Mohd Nor, 47, berkata musim tengkujuh menjadi rutin tahunan baginya untuk menangkap ikan darat menggunakan bubu atau temila di sungai berhampiran rumahnya di Kampung Tersang.
“Biasanya saya memperoleh baung, toman galang dan lampam jawa. Saya memasang bubu pada waktu pagi dan memeriksanya beberapa jam kemudian. Setakat ini, saya berjaya meraih hampir 20 kilogram pelbagai jenis ikan darat setiap hari,” katanya.
Seorang penggemar ikan darat, Anuar Yahya, 49, dari Kampung Beta Hulu berkata beliau sanggup berulang-alik dari Kota Bharu beberapa kali seminggu untuk mendapatkan bekalan ikan darat segar.
“Setiap kali tiba musim tengkujuh, ia seperti ketagihan bagi saya sekeluarga kerana ikan darat mempunyai rasa dan aroma tersendiri,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial