Oleh Muhammad Saufee Rosman
KUDAT, 26 Nov (Bernama) -- Di hujung utara Sabah, tersergam indah pemandangan Tanjung Simpang Mengayau, atau lebih dikenali sebagai “Tip of Borneo”, iaitu lokasi ikonik yang sering memukau pengunjung dengan panorama titik pertemuan Laut China Selatan dan Laut Sulu.
Namun, di sebalik keindahan yang tergolong antara paling memukau di Malaysia, komuniti kecil yang mencari rezeki di kawasan pesisir itu masih berdepan halangan asas yang mengekang potensi Tip of Borneo untuk berkembang sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.
Terletak kira-kira 180 kilometer dari Kota Kinabalu, para peniaga dan pengusaha inap desa mengakui bahawa kehadiran pelancong tempatan serta antarabangsa membawa rezeki namun ketiadaan kemudahan asas yang stabil terus menjejaskan operasi harian mereka.
Pengusaha kedai makan Mohd Sahlan Salleh, 39, berkata walaupun kunjungan tidak pernah putus terutama pada musim cuti, perniagaannya masih berada pada tahap sekadar cukup untuk bertahan.
“Dalam 10 tahun saya berniaga, boleh dikatakan perniagaan ini okey… untung tidak seberapa tetapi cukup untuk bertahan... yang paling kami perlukan ialah jalan raya yang lebih baik, penyelenggaraan berkala serta bekalan elektrik dan air yang stabil.
“Apabila semua itu ditambah baik, orang ramai lebih senang untuk datang dan mereka pun lebih selesa untuk bercuti di sini,” katanya kepada Bernama.
Kedai Mohd Sahlan terletak kira-kira dua kilometer dari Tip of Borneo, yang berada dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Kapor.
Berkongsi kebimbangan sama, Siti Azura Abal, 38, yang tinggal di Kampung Simpang Mengayau, berkata gangguan bekalan air dan elektrik yang kerap berlaku menjejaskan operasi gerai miliknya.
“Jalan raya sekarang sudah okey, cuma bekalan air dan elektrik perlu diberi perhatian... kalau elektrik terputus dua atau tiga hari, bahan mentah rosak… operasi pun terpaksa dihentikan,” katanya.
Dia berkata keadaan gerainya juga memerlukan naik taraf segera kerana sudah uzur.
“Pada musim hujan dan ribut awal tahun lepas, zink bumbung kedai kami pun tercabut,” katanya sambil berharap wakil rakyat yang dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 Sabtu ini dapat meneliti permintaan mereka.
Selain gangguan bekalan air dan elektrik, pengusaha inap desa Ahmad Bukus, 63, berkata isu sampah dari laut turut menjadi cabaran utama peniaga di kawasan itu kerana boleh mencemarkan imej destinasi pelancongan tersebut.
“Hampir setiap pagi saya kena kutip sampah di pantai... ia bukan sampah pelawat… macam datang dari laut... jadi, saya harap ada tempat pelupusan seperti kontena besar supaya pihak berkaitan dapat mengutip dan melupuskannya dengan lebih teratur.
“Kebersihan pantai ini sangat penting untuk mengekalkan keindahan Tip of Borneo,” katanya sambil menyarankan agar aktiviti promosi pelancongan dipertingkat oleh pihak berkuasa.
Sementara itu, potensi Tip of Borneo sebagai pusat sukan luncur ombak turut disuarakan oleh remaja Kampung Simpang Mengayau iaitu Danish Daniel DD Lveh, yang mula meminati aktiviti tersebut sejak berusia lima tahun.
“Ombak dan pemandangan di sini memang cantik... kalau dipromosikan sebagai kawasan luncur ombak, lebih ramai orang akan datang... ini boleh bantu ramai peniaga, pengusaha restoran dan inap desa,” kata remaja berusia 15 tahun itu.
DUN Tanjong Kapor mempunyai 34,001 pemilih berdaftar dan menyaksikan pertandingan 11 penjuru pada PRN Sabah kali ini.
N04: Tanjong Kapor: SABAH: 34,001
1. Bonny Berman (SPP)
2. Kevin Lee Sip Kin (BN-MCA)
3. Abdul Rahim Madtaip (Bebas/IND)
4. Awang Karim Awang Kadir (Anak Negeri)
5. A Halim @ Abdul Halim Yussof (PBK)
6. Jetol Dangin (PIS)
7. Terence Au Soon Fui (Warisan)
8. Datuk Chong Chen Bin (GRS-Gagasan Rakyat)
9. Shawn Davey Robert Lee (STARSABAH)
10. Datuk Verdon Bahanda (Bebas/IND)
11. Muhammad Affan Jumahat (PN-Bersatu)
(2020: Ben Chong Chen Bin: Warisan Plus-Warisan: Maj: 1,879)
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial