AM > BERITA

Keselamatan: Perak Laksana Kajian Had Daya Tampung Di Kawasan Pendakian - MB

27/11/2025 10:36 AM

IPOH, 27 Nov (Bernama) -- Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) sedang menjalankan Kajian Had Daya Tampung bagi Kawasan Pendakian Tumpuan di Negeri Perak menerusi peruntukan Pemindahan Fiskal Ekologi untuk Pemuliharaan Biodiversiti (EFT).

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata kajian itu sebagai langkah kawalan tambahan bagi menjamin keselamatan pengembara ketika melakukan aktiviti di hutan-hutan di negeri ini dengan dua kajian telah selesai dilakukan di Daerah Hutan Kinta/Manjung dan Daerah Hutan Perak Selatan.

Beliau berkata dua kajian di Daerah Hutan Hulu Perak dan Daerah Hutan Kuala Kangsar serta satu kajian akan dijalankan pada tahun depan di Daerah Hutan Larut dan Matang.

“Hasil kajian ini kelak dapat membantu JPNPk menentukan bilangan kuota pendaki pada satu-satu masa di kawasan pendakian tumpuan. Hal ini dapat mengurangkan risiko serta memastikan pengurusan kawasan pendakian dijalankan secara lestari,” katanya pada sesi soal jawab lisan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan M. Thulsi (PH-Buntong) berkenaan langkah-langkah keselamatan tambahan bagi menjamin keselamatan para pengembara yang menjalankan aktiviti di hutan-hutan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri susulan insiden kematian seorang pendaki di Gunung Liang, 17 Okt lepas.

Saarani berkata sebagai langkah jangka panjang, JPNPk turut merancang melaksanakan Kajian Risiko Kemalangan dan Bencana di kawasan pendakian bagi mengenal pasti kawasan berisiko serta menambah baik langkah pencegahan.

Beliau berkata pada masa yang sama, JPNPk turut meneliti penggunaan sistem pemantauan dan penilaian secara masa nyata bagi kawasan pendakian berisiko tinggi untuk meningkatkan kecekapan tindak balas sekiranya berlaku insiden tidak diingini.

Sementara itu, beliau berkata terdapat 55 kawasan pendakian telah dikenal pasti oleh JPNPk yang berada di dalam kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) dan berdasarkan Seksyen 47(1)(c), setiap aktiviti pendakian di HSK diwajibkan memiliki permit memasuki yang boleh dimohon secara dalam talian bagi membolehkan pemantauan bilangan pendaki secara sistematik.

“Jika aktiviti pendakian pada ketinggian melebihi 500 meter, kerajaan negeri melalui JPNPk telah menetapkan aktiviti berkenaan perlu disertai Malim Gunung Perhutanan (MGP) yang diiktiraf termasuk pemakaian dokumen SOP (prosedur operasi standard) pendakian yang bermula 1 Jun 2023,” katanya.

Saarani berkata setakat ini, 376 MGP telah dilatih dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dengan 320 masih aktif menjalankan tugas sebagai jurupandu rasmi.

Bagi memastikan keselamatan dan kawalan aktiviti, beliau berkata JPNPk telah menggubal SOP Pendakian HSK Negeri Perak dengan kerjasama agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Mineral dan Geosains, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Jabatan Meteorologi serta Persatuan Malim Gunung Negeri Perak.

“SOP ini menjadi panduan utama dalam aspek pengurusan risiko, keselamatan, tindakan kecemasan serta tanggungjawab pihak berkaitan termasuk pihak berkuasa perhutanan, pentadbir kawasan, malim gunung dan pendaki,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan