IPOH, 27 Nov (Bernama) -- Program memasukkan mikrocip dan sistem pemetaan pemberi makanan merupakan antara dasar yang sedang dirancang bagi menangani isu haiwan jalanan secara mampan, berperikemanusiaan dan berasaskan data di Perak.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Sandrea Ng Shy Ching berkata program memasukkan mikrocip membolehkan penguatkuasaan lebih berkesan terhadap pemilik tidak bertanggungjawab dan mengurangkan insiden pembuangan haiwan.
“Selain itu, kerajaan juga sedang meminda Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Anjing dan Premis Pemeliharaan Anjing bagi tujuan penambahbaikan selain meneliti mekanisme pelesenan yang menggalakkan pemilik memandulkan anjing, termasuk struktur yuran yang lebih tersusun dan berperingkat,” katanya pada sesi soal jawab lisan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Hashim Bujang (PN-Bukit Chandan) berhubung hasil pelaksanaan program pemandulan anjing dan kucing bersubsidi serta dasar dan program baharu yang akan dilaksanakan bagi menangani isu haiwan jalanan.
Sementara itu, Sandrea berkata sistem pemetaan pemberi makan atau feeders mapping system merupakan sistem pemetaan komuniti untuk menyelaras usaha individu yang memberi makan haiwan jalanan.
Beliau berkata melalui rangkaian ini, pemberi makan haiwan jalanan boleh menjadi mata dan telinga kerajaan, membantu tindak balas aduan dengan lebih cepat serta menyumbang data populasi yang lebih tepat.
“Ini mengubah mereka daripada usaha bersendirian kepada sebahagian daripada penyelesaian yang menyeluruh,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata kempen pemandulan bersubsidi Perak Pawsitive Initiative telah menyaksikan sebanyak 504 ekor anjing dan 376 ekor kucing berjaya dimandulkan setakat 17 Ogos.
“Selain itu, sebanyak 567 lesen anjing telah dikeluarkan oleh PBT (pihak berkuasa tempatan) dan ini menunjukkan peningkatan pemilikan haiwan yang lebih bertanggungjawab,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial