AM > BERITA

Selangor Halalvibe Fest 2025 Sasar RM3 Juta Transaksi Jualan - Exco

27/11/2025 06:45 PM

‎SHAH ALAM, 27 Nov (Bernama) -- Selangor Halalvibe Fest 2025 yang bermula hari ini menyasarkan transaksi jualan sebanyak RM3 juta sepanjang empat hari penganjuran di Dataran Karnival, Stadium Shah Alam.

‎Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata festival itu sebahagian usaha memperkukuh agenda halal negeri dan melibatkan pembukaan hampir 300 reruai meliputi produk halal makanan serta minuman selain perusahaan perkhidmatan.

“Program ini dilaksanakan dengan Halal International Selangor (HIS Toyyiba Sdn Bhd) selaku agensi pelaksana dan merupakan platform terbaik memperkenalkan produk bersijil halal serta sedang melalui proses pensijilan halal,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan festival itu di sini hari ini. 

Mohammad Fahmi berkata Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dijangka berangkat ke festival itu pada Ahad. Festival berlangsung dari 10 pagi hingga 11 malam. 

Sementara itu, Mohammad Fahmi berkata Selangor antara yang memiliki kapasiti industri halal terbesar dengan sekitar 70 peratus daripada keseluruhan syarikat bersijil halal dalam Malaysia beroperasi di negeri itu.

‎Beliau berkata kerajaan Selangor sedang melaksanakan beberapa langkah untuk memperkasakan ekosistem industri itu termasuk mengenal pasti gudang dan logistik untuk mewujudkan fasiliti halal bersesuaian. 

‎”Kita juga meringkaskan dan memudahkan proses kelulusan pensijilan halal Malaysia dengan jaminan produk yang kali pertama melalui proses ini mengambil masa tidak lebih 30 hari atau duit dikembalikan. 

‎”Kita membantu memasarkan produk halal dalam acara seperti ini dan akan berkolaborasi dengan sebuah platform digital terkemuka tahun depan untuk membuka Gerai Halal Selangor bagi pasaran dalam dan luar negara,” katanya.

‎Mohammad Fahmi berkata penganjuran festival itu juga melibatkan seminar pensijilan halal, sesi padanan perniagaan, pembentangan kesedaran halal serta aktiviti pitching bersama-sama Hijrah Selangor dan Agrobank bagi menyediakan peluang jaringan serta akses permodalan kepada usahawan.

‎Terdahulu, HIS memeterai tiga memorandum persefahaman (MoU) termasuk dengan Yayasan Hijrah Selangor yang antara lain melibatkan pelaksanaan Pakej Pembiayaan Pensijilan Halal yang dijangka meningkatkan kesediaan usahawan mikro dan kecil untuk memasuki pasaran halal. 

‎MoU dengan Universiti Selangor (UNISEL) pula menekankan pembangunan modal insan halal melalui pelaksanaan latihan bersama, kolaborasi penyelidikan serta penempatan latihan ‎industri pelajar.

‎Perjanjian dengan syarikat pembangunan produk sertu berasaskan teknologi Clay Water Enzyme (CWE) Vital Life Solutions Sdn Bhd membabitkan ‎peranan HIS sebagai rakan strategik eksklusif bagi pasaran antarabangsa produk itu.

‎Kerjasama itu turut merangkumi pembangunan produk, pematuhan kualiti, fasilitasi pensijilan halal, sokongan logistik rantaian bekalan dan penyertaan dalam program perdagangan bagi memperkukuh daya saing industri halal pada peringkat global.

‎-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan