AM > BERITA

Cuaca Baik Bantu Proses Evakuasi Mangsa Banjir Di Selatan Thailand, Komunikasi Dan Akses Masih Cabaran - KLN

27/11/2025 07:31 PM

PUTRAJAYA, 27 Nov (Bernama) -- Operasi menyelamat rakyat Malaysia di selatan Thailand berjalan lebih lancar hari ini, susulan cuaca yang lebih baik dan paras banjir yang semakin surut, namun pelbagai cabaran logistik dan komunikasi terus memberi kesan kepada koordinasi pasukan di lapangan.

Setiausaha Bahagian Komunikasi dan Diplomasi Awam, Kementerian Luar Zamshari Shaharan berkata pasukan Malaysia berdepan risiko besar ketika memasuki kawasan yang masih dinaiki air, terutama di lokasi berhampiran Stesen Kereta Api Hat Yai dan zon pusat bandar yang terjejas teruk.

Beliau berkata terdapat laluan yang terlalu cetek untuk bot, tetapi masih terlalu dalam untuk kenderaan, selain kewujudan objek besar seperti kereta atau perabot yang tenggelam di bawah air, menyukarkan dan membahayakan pergerakan.

“Air di sesetengah kawasan walaupun sudah surut, arusnya masih deras. Ini menjadikan ia berbahaya untuk mangsa cuba meredah sendiri...jadi kami nasihatkan mereka tunggu pasukan penyelamat,” katanya pada Sesi Penerangan Mengenai Status Warganegara Malaysia Yang Terlibat Dalam Bencana Banjir di Selatan Thailand di sini, hari ini.

Zamshari berkata komunikasi pula menjadi cabaran terbesar, apabila liputan telefon dan Internet di kawasan terjejas sering terputus, menyebabkan kemas kini operasi lewat diterima dan atas faktor keselamatan negara tuan rumah, peralatan komunikasi seperti walkie-talkie tidak dibenarkan dibawa masuk.

“Pasukan kami terpaksa bergantung kepada telefon bimbit. Kadang-kadang maklumat yang dihantar oleh pasukan lapangan hanya sampai dua jam kemudian,” katanya.

Zamshari turut menjelaskan bahawa maklumat awam yang tidak tepat menambah kesukaran operasi, dengan keluarga di Malaysia melaporkan lokasi ahli keluarga berdasarkan mesej lama, sedangkan mereka mungkin telah berpindah ke tempat lain.

“Ini menyebabkan pasukan bergerak ke lokasi yang sudah kosong. Namun apabila ada laporan baharu, mereka akan kembali semula walaupun terpaksa meredah air deras,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pelbagai NGO termasuk pasukan bomba sukarela dari seluruh negara, Bulan Sabit Merah, Persatuan Sikh Malaysia dan syarikat FTC Insurance, yang menyediakan bas untuk membawa ratusan rakyat Malaysia pulang setiap hari ke Bukit Kayu Hitam.

Zamshari berkata operasi akan diteruskan sehingga semua kawasan yang dikenal pasti dapat disahkan selamat daripada kehadiran rakyat Malaysia yang masih terkandas.

“Kita akan buat sehingga selesai. Selagi ada maklumat baharu, selagi itu pasukan akan bergerak,” katanya.

Untuk bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi bilik gerakan Kementerian Luar di Putrajaya menerusi talian +603-8887 4570 atau e-mel dutyofficer@kln.gov.my.

Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok boleh dihubungi menerusi talian +66-87-028-4659 atau +66-2340-5721, atau melalui e-mel di mwbangkok@kln.gov.my.

Selain itu, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla boleh dihubungi menerusi talian +(6674) 316274 atau +(6681) 9901930, dengan talian tambahan +(6674) 324004 dan 312353 atau melalui e-mel di mwsongkhla@kln.gov.my.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan