AM > BERITA

Mangsa Banjir Selangor, Pahang Meningkat Malam Ini

27/11/2025 11:16 PM

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Banjir di tujuh negeri tidak banyak berubah dengan hanya Selangor dan Pahang mencatat sedikit peningkatan malam ini.

Di SELANGOR, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 2,603 mangsa daripada 691 keluarga berbanding 2,467 mangsa (654 keluarga) direkodkan pada petang tadi. 

Menurut laman web Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 15 pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih dibuka membabitkan tiga daerah iaitu Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam. 

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir juga sedikit meningkat kepada 63 orang daripada 18 keluarga, berbanding 21 orang daripada lapan keluarga pada petang tadi.

Menurut Infobencana JKM, 33 mangsa (12 keluarga) yang terlibat ditempatkan di tiga PPS di Daerah Lipis manakala 30 mangsa (6 keluarga) ditempatkan di enam PPS di Daerah Raub.

Di PERLIS jumlah mangsa banjir tidak banyak berubah iaitu 7,624 orang setakat malam ini berbanding 7,622 mangsa pada sebelah petang.

Berdasarkan data Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perlis, kesemua mangsa banjir itu masih berada di 24 PPS melibatkan kawasan Padang Besar, Arau dan Kangar.

Keadaan yang sama turut direkodkan di KEDAH dengan 4,272 orang (1,412 keluarga) mangsa ditempatkan di 21 PPS malam ini berbanding 4,270 orang daripada 1,442 keluarga petang tadi.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah, daerah Kubang Pasu mencatat jumlah mangsa tertinggi dengan 2,481 orang daripada 859 keluarga berlindung di 14 PPS, diikuti Kota Setar 1,726 orang (523 keluarga) ditempatkan di lima PPS serta 65 orang (30 keluarga) ditempatkan di dua PPS di daerah Pokok Sena.

Sementara itu, cuaca yang baik pada sebelah petang di KELANTAN menyaksikan jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 7,849 mangsa daripada 2,906 keluarga (52 PPS) di lapan jajahan terjejas banjir berbanding 9,187 mangsa banjir petang tadi.

Menurut Sekretariat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Tumpat kekal mencatat jumlah mangsa tertinggi iaitu 3,937 orang daripada 1,520 keluarga, diikuti Bachok (1,485 mangsa, 464 keluarga) serta Kota Bharu (1,093 mangsa, 421 keluarga).

Lima daerah lain yang turut terjejas ialah Pasir Mas (158 mangsa, 89 keluarga), Machang (485 mangsa, 186 keluarga), Tanah Merah (341 mangsa, 113 keluarga), Kuala Krai (250 mangsa, 85 keluarga) dan Gua Musang (100 mangsa, 28 keluarga).

TERENGGANU turut merekodkan penurunan mangsa banjir kepada 3,667 orang (1,150 keluarga) malam ini berbanding 4,111 orang (1,245 keluarga) petang tadi.

Berdasarkan laman web InfoBencana JKM, sebanyak 53 PPS dibuka di tujuh daerah dengan Marang merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 1,454 orang (406 keluarga) di sembilan PPS.

Ia diikuti Setiu iaitu 1,108 orang (396 keluarga) di 21 PPS, Kemaman 602 orang (172 keluarga) di sembilan PPS, Kuala Terengganu 187 orang (87 keluarga) di sebuah PPS, Dungun 156 orang (35 keluarga) di lima PPS, Besut 107 orang (37 keluarga) di enam PPS dan Hulu Terengganu 60 orang (17 keluarga) di dua PPS.

Di PERAK Sekretariat JPBN negeri memaklumkan PPS SJKC Manong di Kuala Kangsar yang menempatkan 71 mangsa daripada 36 keluarga ditutup dan kesemua mangsa telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Ini menjadikan jumlah mangsa banjir di negeri itu menurun malam ini menyaksikan 5,455 orang (1,651 keluarga) masih menetap di keseluruhan 45 PPS di enam daerah berbanding 5,689 orang (1,749) petang tadi.

Daerah Manjung kekal dengan jumlah mangsa tertinggi iaitu 2,185 orang daripada 678 keluarga masih ditempatkan di 18 PPS manakala Perak Tengah pula merekodkan 1,373 orang, Hilir Perak (1,356), Bagan Datuk (407), Muallim (19) serta Larut, Matang dan Selama (115).

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan