MELAKA, 27 Nov (Bernama) -- Pengendali radio amatur di Malaysia diminta mengosongkan empat frekuensi kecemasan (EmComm) bagi memberikan laluan kepada pengurusan bencana khususnya berkaitan situasi banjir dan tanah runtuh yang berlaku semalam di Sumatera Utara, Indonesia.
Presiden Malaysia Amateur Radio Transmitters’ Society (MARTS) Mohd Aris Bernawi berkata frekuensi terbabit ialah 7.110 MHz, 14.300 MHz, 21.360 MHz dan 145.100 MHz yang telah ditetapkan oleh Organisasi Radio Amatur Republik Indonesia (ORARI) bagi tujuan EmComm.
“MARTS menerima notis daripada Pengerusi ORARI Donny Priambodo mengenai penggunaan frekuensi kecemasan berkenaan dan menegaskan komuniti Radio Amatur Malaysia perlu sentiasa peka serta bersedia menyokong usaha komunikasi serantau sekiranya diperlukan.
“Sehubungan dengan itu, MARTS menasihati semua pengendali radio amatur berlesen untuk sentiasa memantau dan memberikan keutamaan segera kepada frekuensi yang telah ditetapkan oleh ORARI bagi tujuan EmComm berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.
Mohd Aris yang juga Naib Presiden Kesatuan Radio Amatur Antarabangsa (IARU) berkata memandangkan komuniti radio amatur Malaysia turut menggunakan frekuensi yang sama susulan banjir di beberapa negeri, semua pengendali diingatkan menggunakan frekuensi secara berhemah dengan memberikan laluan segera kepada panggilan kecemasan.
“MARTS berharap situasi bencana di Malaysia dan negara jiran akan segera pulih serta mengucapkan takziah kepada mangsa yang terjejas,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial