Oleh Mohd Ashraf Syafiq Mazlan
PUTRAJAYA, 28 Nov (Bernama) -- Pelaksanaan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berjaya memacu sektor agromakanan negara ke arah lebih moden, efisien dan berdaya tahan, sekali gus memberi manfaat besar kepada petani, penternak, nelayan serta usahawan industri makanan.
RKB yang digerakkan bukan sahaja menumpukan kepada pemansuhan prosedur lapuk tetapi turut memberi penekanan kepada pendigitalan perkhidmatan, integrasi data serta automasi proses kerja bagi memastikan rakyat mendapatkan perkhidmatan kerajaan yang lebih cepat, mudah dan berkualiti.
Antara inisiatif RKB KPKM adalah pengurangan tempoh kelulusan pembayaran Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) daripada empat bulan kepada dua bulan yang telah memberi manfaat kepada lebih 25,000 pesawah dalam tempoh tiga tahun ini.
Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) yang memperkenalkan inisiatif Green Priority Lane pada 2024 melibatkan empat komoditi utama iaitu gandum, jagung, soya dan makanan ternakan turut mencatatkan penjimatan caj demurrage berjumlah RM33 juta.
Inisiatif itu menyumbang kepada peningkatan keluaran dalam negara kasar (KDNK) agromakanan sebanyak RM3.5 bilion melalui kelancaran bekalan bahan mentah kepada industri penternakan dan pemprosesan makanan.
Ketua Setiausaha KPKM Datuk Seri Isham Ishak berkata fokus utama pelaksanaan RKB di KPKM adalah untuk mempercepatkan proses pentadbiran dan mempertingkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan kementerian.
“Dalam usaha mengoptimumkan dan mempermudahkan sistem pentadbiran, RKB bertujuan untuk mengurangkan birokrasi yang tidak perlu, menyusun semula prosedur sedia ada dan memperkenalkan sistem yang lebih efisien dengan memanfaatkan teknologi terkini dalam bidang pertanian,” katanya kepada Bernama.
Di bawah KPKM, sebanyak 40 projek RKB telah didaftarkan iaitu 25 projek pada 2024 dan 15 projek pada 2025 dan pihaknya telah menginstitusikan 17 projek dengan bimbingan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).
Baki 23 projek dalam pelaksanaan penambahbaikan dan uji kaji peraturan.
“Di bawah KPKM juga terdapat beberapa projek reformasi akan dilaksanakan seperti digitalisasi penuh permohonan bantuan kerajaan, automasi proses kerja untuk mengurangkan masa kelulusan serta meminimumkan kesilapan manual dan pemendekan masa kelulusan lesen dan permit,” menurut KPKM.
Kini, kementerian itu terus mengambil langkah baharu dalam memantapkan agenda RKB antaranya dengan pelaksanaan automasi kelulusan berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan proses lebih pantas, tepat dan mengurangkan kerja manual.
“(Langkah baharu termasuk) ekosistem data agromakanan bersepadu merentasi pelbagai kementerian lain untuk memastikan hala tuju negara berasaskan data masa nyata dan analitik ramalan untuk meramal permintaan input, risiko cuaca dan potensi gangguan rantaian bekalan.
“(Turut dirancang adalah) platform agromakanan nasional bersepadu, menyatukan bantuan, latihan, pasaran, teknologi dan data dalam satu pintu masuk digital,” menurut KPKM.
KPKM komited memastikan RKB bukan sekadar projek reformasi pentadbiran tetapi satu perubahan menyeluruh yang memodenkan perkhidmatan kerajaan, mengangkat martabat sektor agromakanan dan memberi manfaat nyata kepada rakyat.
Inisiatif RKB KPKM yang telah dilaksana termasuk pengurangan tempoh kelulusan proses pengimportan bijirin daripada dua bulan kepada satu bulan oleh Jabatan Pertanian dan penambahbaikan syarat Import Permit (IP) bagi komoditi perikanan oleh Jabatan Perikanan.
Sementara itu, Pengarah Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan, Universiti Putra Malaysia Prof Dr Anjas Asmara Samsudin berkata inisiatif RKB KPKM mampu meningkatkan keyakinan pemegang taruh serta rakyat mengenai komitmen KPKM dalam menjayakan ekonomi MADANI.
Beliau berkata kesan peningkatan kecekapan tatakelola serta penyampaian awam melalui pengurangan karenah birokrasi dapat dilihat menerusi peningkatan hasil pertanian untuk sumber makanan negara.
“Pengurangan tempoh kelulusan pemberian permit yang sah dapat membantu mengurangkan pengoperasian ladang-ladang haram yang menjalankan operasi tanpa mengikut amalan pertanian yang baik.
“Ini penting dalam menjamin aktiviti pertanian untuk menjana sumber makanan negara agar bersih dan selamat untuk dimakan oleh pengguna,” katanya.
Anjas Asmara turut menyeru pemain industri pertanian untuk memanfaatkan teknologi baharu seperti AI dalam meningkatkan kecekapan pengeluaran dan produktiviti.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial