AM > BERITA

PRN Sabah: Khutbah Jumaat Ingatkan Umat Islam Tunai Tanggungjawab Mengundi

28/11/2025 06:10 PM

KOTA KINABALU, 28 Nov (Bernama) -- Umat Islam di Sabah diingatkan supaya menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat dengan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17 esok.

Peringatan itu disampaikan menerusi khutbah Jumaah yang disediakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) bertajuk 'Pemimpin Islam, Suri Teladan Rakyat'.

"Marilah kita bersama-sama melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat dengan turun mengundi bagi memilih pemimpin yang dapat meneruskan agenda pembangunan dan kesejahteraan sosial rakyat di negeri ini,” menurut khutbah berkenaan.

Khutbah itu turut mengingatkan bahawa pemimpin merupakan suri teladan kepada rakyatnya, iaitu jika pemimpin baik, maka baiklah masyarakat yang dipimpinnya dan sebaliknya

“Jadilah pemimpin yang bertindak sebagai perisai melindungi, membimbing dan menegakkan keamanan rakyatnya dalam setiap keadaan serta sentiasa memperbaiki diri dan membina akhlak mulia," menurut khutbah itu yang dibacakan di seluruh masjid negeri di Sabah hari ini.

Khutbah juga mengingatkan umat Islam supaya taat kepada pemimpin selagi mana ia tidak bercanggah dengan syariat Islam.

"Khatib ingin mengingatkan para pemimpin, jauhilah sifat khianat dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab kerana melakukan khianat itu akan membinasakan diri sendiri serta perpecahan umat," menurut teks khutbah itu. 

Hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 yang melibatkan 1.76 juta pemilih berdaftar berlangsung esok. 

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan